Imbas untuk muat turun aplikasi

Artikel

Myra Natasya Mengaku Anak Luar Nikah

today13 May 2024

Background

Pelakon, Myra Natasya Abdullah, 29, yang juga anak kepada personaliti radio popular, Halim Othman mendedahkan dia berstatus anak tidak sah taraf atau anak luar nikah.

Menurut laporan Harian Metro, Myra juga mengakui dia terpaksa berbohong kepada wartawan ketika memaklumkan ibunya dan Halim berkahwin di Thailand sedangkan cerita sebenarnya mereka tidak pernah berkahwin.

“Status saya adalah tidak diiktiraf. Jadi, saya tidak boleh diwalikan oleh Halim Othman jika saya berkahwin nanti kerana status saya.

“Bagi saya benda sudah terjadi, cukuplah. Selepas pendedahan berkenaan saya berbintikan Abdullah, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) cari Halim untuk dapatkan butir lanjut.

“Ketika itu dia kata yang dia tak nak buat apa-apa. Menurutnya benda yang dah lepas biarlah dan kita ‘move on’ ke hadapan. Jangan diheret kisah-kisah lama,” katanya.

Bagaimanapun, tiga hari lalu Myra mendapat tahu Halim sudah mengubah identiti asalnya dengan membuat sijil kelahiran baru.

“Ini kerana sijil kelahiran asal tiada butiran bapa langsung. Sebenarnya tiga tahun lalu, dia ubah identiti asal saya dengan membuat sijil kelahiran baharu.

“Bolehkah begitu? Apa hak dia untuk buat perkara ini sebab selama ini sebelum saya keluarkan kenyataan di media, dia tak pernah jadi seorang bapa dan tak pernah jalankan tanggungjawabnya.

“Bagi saya okeylah, tak apa benda dah jadi. Tapi kenapa dia nak tukar sijil kelahiran kerana dia tiada hak buat begitu. Saya tak tahu pun dia curi-curi buat begitu,” katanya.

Berang dengan tindakan Halim yang berbuat demikian, Myra bertanya kepada Halim apa haknya buat semua ini dan mengapa meletakkan namanya, namun Halim memberikan jawapan angkuh.

“Dia jawab saya perlu bersyukur sebab ada benih dia dalam diri saya. Jika tidak, saya tak wujud di dunia ini.

“Selama ini dalam kenyataan saya, saya selalu pertahankan dia. Saya cerita benda yang cantik-cantik sahaja. Tapi dia yang sepatutnya pertahankan saya, pilih buat benda ini. Bila ditanya kenapa, terus melenting.

“Begitukah sifat seorang ayah? Dia juga tak nak layan saya dan terus sekat saya di Instagram. Sekarang, nama saya binti Abdullah masih kekal dan tak boleh diubah seperti dalam sijil kelahiran.

“Tapi dalam sijil kelahiran baharu ditulis butiran bapa. Sebelum ini yang asal semua butiran bapa dikosongkan dan ditulis tidak berkaitan. Sekarang dia bawa perkara ini ke JPN dan letak namanya,” katanya.

Myra juga mendedahkan Halim tidak wujud ketika dia dilahirkan sebaliknya ada individu lain yang menjaganya dari kecil hingga besar.

“Apa motif dia nak ubah? Sebelum ini dia buat apa seperti tinggalkan saya dan mak, saya boleh sabar tapi kali ini dah lebih.

“Yang paling menyakitkan hati, masa saya kecil, memang dia tak wujud. Bila dia dapat tahu mak saya mengandungkan saya, dia suruh mak gugurkan kandungan.

“Tapi mak nekad lahirkan saya dan lari daripada dia. Mak jumpa dengan seorang lelaki Cina dan dialah yang jaga saya dari kecil sampai besar. Semuanya dari saya masuk universiti dan barang keperluan, dia yang jaga sampai sekarang,” katanya.

Myra berkata, bagaimana perasaan lelaki itu sekarang sedangkan dialah yang mendaftarkan kelahirannya 29 tahun lalu.

“Bayangkan perasaan dia apabila dalam sijil kelahiran baharu, Halim Othman meletakkan nama lelaki Cina ini sebagai pemberi maklumat.

Sedangkan ia dibuat tanpa pengetahuan lelaki itu. Dia gunakan nama lelaki itu sebagai saksi untuk dia ubah sijil kelahiran.

“Pada saya, dia takut sekiranya media tahu dan keluarganya tahu sebab mereka tak tahu perkara sebenar. Mereka dan masyarakat ingat dia dah berkahwin,” katanya.

Terdahulu, menurut laporan media, Myra memaklumkan ibunya dan Halim berkahwin di Thailand pada 1994 dan turut bercerai di sana pada 1998.

Myra yang lahir pada 1995 sukar untuk berbintikan nama Halim kerana perkahwinan itu tidak didaftarkan di negara ini.

Ikuti Channel rasmi XTRA di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Written by: Aqilah


Previous post