Imbas untuk muat turun aplikasi

Yang Hangat

Nafi Dibela ‘Sugar Mummy’, Fikry Kiki Keluarkan Sebahagian Besar Modal RM600,000 Untuk Buat Bisnes Kopi – “Saya Bukan Anak Ikan”

today18 July 2024

Background

“Saya bukan anak ikan. Saya masih ingat dosa pahala. Arwah ayah dan ibu saya didik saya dari kecil untuk berusaha sendiri dalam mencapai apa yang diinginkan.”

Demikian penjelasan pelakon, penyanyi dan pengacara kanak-kanak yang menginjak remaja, Fikry Kiki yang kecewa dengan dakwaan dia dibela ‘sugar mummy’ untuk menjalankan bisnes kopi.

Menurut Fikry atau nama sebenarnya Muhammad Fikry Izzudin Mohd Fuad, 20, terdapat segelintir warganet yang menuduh kononnya dia adalah ‘anak ikan’ kepada pempengaruh seksi, Bulan selepas mereka menjalankan peniagaan kopi tanpa bancuh berbentuk cecair, Liquffe (Liquid Coffee).

“Tidak dinafikan, mungkin tawaran lakonan yang saya dapat tidaklah sehebat pelakon-pelakon muda lain, walaupun sudah berlakon sejak umur lima tahun.

“Namun, itu bukan alasan untuk saya ‘menjual’ diri saya jadi ‘anak ikan’ atau dibela sesiapa dengan tujuan untuk hidup kaya. Tidak sama sekali.

“Jauh sekali rela ‘jual’ tubuh untuk kepuasan ‘sugar mummy’ atau sesiapa. Memang minta dijauhi,” katanya.

Fikry ditemui di Sidang Media Pelancaran Liquffe, di Semenyih, Selangor, pada Rabu.

Menyangkal dakwaan ditaja oleh seorang ‘sugar mummy’, Fikry menjelaskan sebahagian besar modal bisnes bernilai RM600,000 adalah usahanya sendiri.

“Bulan bukan ‘sugar mummy’ saya. Sebahagian besar modal bisnes RM600,000 adalah duit saya sendiri.

“Bulan adalah rakan kongsi saya yang saya sudah anggap seperti kakak. Sebagai seorang influencer yang berpengalaman dalam bisnes, rasanya tak salah untuk saya belajar daripadanya.

“Pada asalnya dia ada berkongsi kepada saya tentang produk kopi tanpa bancuh iaitu Liquffe yang sedang kami usahakan sekarang.

“Pada asalnya, dia meminta pendapat saya, mahu mengeluarkan produk yang pertama di Malaysia itu. Apabila saya cuba produk itu selama beberapa bulan, memang sedap dan yakin boleh pergi jauh.

“Jadi, dari situlah bermulanya kami jadi rakan bisnes dan duit RM600,000 itu adalah modal kami bersama. Lagi pun, saya tak tahu sampai bila bertahan dalam industri seni.

“Tidak timbul soal dia menaja saya atau saya jadi ‘anak ikan’ dia. Kami memang sudah lama berkawan. Saya harap netizen yang menyindir saya di Instagram itu, henti-hentikanlah.

“Ada yang mempertikaikan di mana saya dapat duit atau modal tersebut, itu adalah hasil simpanan saya sendiri,” ujarnya.

Manakala pempengaruh sensasi, Bulan atau nama sebenarnya Mabel Ira Bulan, 27, mengaku bersimpati dengan tuduhan yang dilemparkan kepada Fikry.

“Bagi saya, tuduhan sebegitu tidak sepatutnya berlaku. Sebab niat kami baik, usahakan bisnes ini dalam masa yang sama membantu masyarakat untuk menjana pendapatan.

“Sepatutnya, masyarakat atau netizen sokong anak muda seperti kami yang berusaha untuk memajukan diri. Bukannya tuduh yang bukan-bukan.

“Saya selesa berkawan dengan dia. Fikry pun ada potensi untuk jadi usahawan berjaya cuma perlukan masa. Saya pun masih dalam proses belajar.

“Jadi kami saling membantu dan sering berkongsi idea untuk memajukan Liquffe yang saya lihat boleh pergi jauh. Kopi tanpa bancuh yang pertama di Malaysia,” katanya yang menegaskan modal RM600,000 adalah perkongsiannya dengan Fikry.

Berkongsi tentang Liquffe, Bulan berkata, ejen tidak perlu perlu risau kerana kopi cecair ini menggunakan bahan organik dan berasaskan tumbuhan serta mengandungi nektar atau gula kelapa yang bagus untuk kesihatan.

“Penyelidikan telah dilakukan selama tiga bulan. Dalam tempoh tersebut banyak berlaku penolakan kerana mahukan rasa kopi yang terbaik yang tidak menggunakan gula putih sebaliknya nektar kelapa.

“Kalau nak tahu, nektar kelapa ini mempunyai nutrisi yang tinggi seperti menstabilkan paras gula dalam darah, membantu melawan keradangan, membantu meningkat metabolisme, bagus untuk kesihatan usus dan banyak lagi,” ujarnya.

Bulan juga meluahkan rasa syukurnya apabila impiannya untuk muncul dengan produk yang bagus dan bermanfaat kepada masyarakat akhirnya tercapai.

Selain membantu masyarakat menjana pendapatan, Bulan akui mahu sentiasa berbakti kepada masyarakat seperti menjalinkan kerjasama dengan Pertubuhan Pembangunan Orang Buta Malaysia.

“Insya Allah, ini adalah sesuatu yang baharu buat saya. Melalui kerjasama ini, untuk permulaan saya membeli 100 naskhah Al Quran Braille daripada pertubuhan ini untuk disumbangkan kepada persatuan orang buta yang lain.

“Bagi saya, Al Quran ini sangat penting kerana hidup kita lebih teratur dan terurus selagi kita berpaut dengannya, selain ia merupakan mukjizat paling agung,” ujarnya.

Bukan itu sahaja, pembeli Liquffe berpeluang untuk merebut hadiah cabutan bertuah yang menawarkan hadiah seperti Motosikal Honda RS-X, pelbagai peralatan eletrik rumah dan gajet.

Sesiapa yang ingin membeli dan menjadi ejen boleh rujuk TikTok Liquffe Malaysia.

Written by: Salma