Susulan ciapannya menerusi platform X tular sehingga ramai peminat berteka-teki mengenai situasi diri, penyanyi Amir Masdi tampil memberikan respons.
Katanya ketika ditemui XTRA, dia tidak berdepan sebarang masalah peribadi melainkan ia hanyalah idea untuknya sebelum melancarkan album.
Dan, ciapan tersebut adalah sebahagian daripada bait lirik lagu di dalam album tersebut.
“Sebenarnya, saya sedang dalam fasa dalam mempromosikan album yang akan dilancarkan pada Oktober nanti.
“Jadi di X adalah salah satu cara untuk saya kongsikan tentang petikan-petikan lagu dan mesej dari album. Jadi ianya adalah teaser,” katanya.

Amir berkongsi mengenai perkara itu ketika ditemui pada sidang media Hausboom Music Festival 2024 baru-baru ini.
Dalam pada itu, Amir juga tidak menyangka sama sekali apabila ‘gimik’ nya di X mendapat perhatian peminatnya.
“Saya tak sangka peminat akan beri perhatian seperti itu. Boleh dikatakan ianya gimik yang secara tidak langsung.
“Saya rasa kali ini saya mendapat perhatian yang lebih, jadi saya rasa peminat akan memahami cara saya itu adalah untuk mempromosikan lagu,” jelasnya.
Mengulas lanjut mengenai album barunya, pelantun lagu Kau Sakiti ini berkata, lagu-lagu yang dihasilkan dalam album kali ini adalah berkisarkan tentang pengalaman yang pernah dilaluinya.
“Album ini turut mengandungi dua lagu Inggeris dan terdiri daripada 12 buah lagu. Album ini ditulis sepenuhnya oleh saya dan Edry Abdul Halim.
“Lagu-lagu yang ada di dalam album ini adalah tentang cinta, berfikir di luar kotak dan mengenai individu yang mengambil kesempatan terhadap saya. Ada juga lagu-lagu yang membawa mesej positif.
“Ketika proses menulis lagu, Edry bertanya tentang pengalaman perit yang tidak dapat saya lupakan. Jadi itu adalah pengalaman peribadi.
“Kawan-kawan yang kita percaya kadang kala yang memanipulasi dan ditikam belakang, jadi saya ambil daripada pengalaman itu,” ujarnya.
Terdahulu, Amir menerusi platform X mencuri tumpuan pengikutnya apabila berkongsi kata-kata seakan meluahkan perasaan kesalnya.
