Imbas untuk muat turun aplikasi

Artikel

Nak Guna Nama & Isu Panas Kak KM? Ini Penjelasan Penulis Buku Pesona Kebaya

today8 June 2024

Background

Penulis buku, Jonathan Kok dan Farel Mikhail tidak berniat mahu menggunakan nama atau mengeksploitasi populariti usahawan selebriti terkenal Kak KM demi melariskan buku Pesona Kebaya tulisan mereka.

Menurut Jonathan, kehadiran selebriti sensasi Kak KM atau nama sebenarnya, Liana Rosli ke majlis pelancaran buku tersebut adalah sebagai tetamu jemputan dan atas dasar persahabatan yang telah lama terjalin.

β€œTerkejut juga apabila ada yang menuduh kami sengaja menjemput Kak KM kerana mahu menggunakan kisah sensasinya bagi melariskan buku Pesona Kebaya.

β€œAda yang cakap, seolah-olah kami mahu menumpang popularitinya dan mempunyai niat tertentu.

β€œSejujurnya kami tiada niat nak menggunakan nama Kak KM atau selebriti-selebriti lain yang hadir. Kami sudah anggap dia seperti kakak dan tiada langsung niat mahu mempergunakan mereka untuk menjual buku ini.

β€œKami menjemput Kak KM atas dasar persahabatan memandangkan pernah bekerjasama dengan beliau sebelum ini. Lagi pun, inilah masanya untuk berkongsi hari bermakna kami setelah lama impian mahu muncul dengan Pesona Kebaya akhirnya menjadi kenyataan,” katanya.

Jonathan berkata demikian ketika majlis pelancaran buku Pesona Kebaya terbitan FM Group di Pavilion Damansara Heights.

Lebih istimewa, Kak KM turut menggayakan baju kebaya rekaan Jonathan Kok dan Farel Mikhail.

Sementara itu, Jonathan juga meluahkan rasa syukurnya apabila pengusaha jamu itu sudi menyatakan persetujuan untuk hadir ke majlis pelancaran buku tersebut.

β€œApabila saya buka saja mulut menjemput ke majlis ini, Kak KM terus menyatakan persetujuan kerana menyokong usaha kami untuk memartabatkan baju kebaya.

β€œIyalah, mungkin tidak ramai orang muda seperti kami yang mahu memartabatkan baju kebaya yang menjadi warisan budaya Malaysia.

β€œBagi kami, anak-anak muda memainkan peranan penting dalam meneruskan budaya turun temurun nenek moyang kita.

β€œSaya harap buku Pesona Kebaya ini mendapat sambutan ramai kerana ia berkenaan budaya kita. Siapa lagi mahu berbangga dengan budaya kita kalau bukan kita sendiri,” ujarnya.

View this post on Instagram

A post shared by SyaZara Aisha (@syazara_aisha)

Selain itu, selebriti lain yang turut hadir memeriahkan majlis pelancaran buku Pesona Kebaya ini ialah duo AishaHanim (Puan Seri Syazara Aisha & Hanim Fariza) dan Datuk Rozzana Rahmat.

Bukan itu sahaja, FM Group juga β€˜menghidangkan’ persembahan istimewa dari warga emas (U3A Petaling Jaya) sebagai salah satu sumbangan mereka kepada masyarakat.

Pesona Kebaya ke arah memperkasakan budaya Malaysia

Malaysia bersama dengan Brunei, Indonesia, Singapura dan Thailand telah menyerahkan pencalonan bersama bagi pakaian tradisional kebaya ke Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di bawah kategori Representative List of the Intangible Cultural Heritage (ICH) of Humanity bagi tahun 2023.

Ini kerana, kebaya merupakan pakaian yang mewakili warisan budaya dan identiti penting bagi kaum wanita Melayu, Peranakan (Baba Nyonya, Chetti & Jawi) dan lain-lain masyarakat di Malaysia serta negara-negara lain di Asia Tenggara.

Disebabkan faktor ini, ia menjadi pilihan buat Jonathan dan Farel untuk menghasilkan buku Pesona Kebaya yang didaftarkan dengan nombor ISBN ini.

β€œAda yang bertanya, kenapa memilih kebaya sedangkan banyak lagi pakaian tradisional lain yang boleh dijadikan buku.

β€œIni kerana, kebaya mempunyai tarikan dan keunikannya yang tersendiri selain merupakan warisan budaya kita yang harus kita hargai.

β€œDalam buku ini, apa yang kami buat adalah untuk memperkasakan baju kebaya yang menjadi budaya Malaysia.

β€œKami nak masyarakat tahu kebaya di Malaysia bukan hanya Kebaya Nyonya dan Kebaya pramugari, sebenarnya ada sepuluh lagi jenis kebaya yang kita patut tahu dan perlu diketengahkan.

β€œAntara kebaya yang saya maksudkan adalah kebaya Perlis, Pahang, Johor-Riau, Kota Bharu dan banyak lagi. Semuanya kebaya tetapi ada perbezaan dan kelebihan tersendiri yang kita semua harus tahu.

β€œSelain itu, buku ini juga boleh dijadikan sebagai rujukan kepada pelajar yang mengambil bidang fesyen atau sesiapa sahaja yang meminati fesyen. Mereka boleh melihat perbezaan seperti pola dan cara jahitannya,” ujarnya.

Jonathan juga mengaku rasa bertuah apabila dapat bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) untuk mempromosi baju kebaya dalam dan luar negara. Mereka juga mendapat sokongan daripada Jabatan Warisan Negara & Kolej Komuniti Selayang.

β€œJika sebelum ini ada yang mendakwa kebaya berasal dari Indonesia atau Thailand sahaja. Sebenarnya ada perbezaan.

β€œMenerusi buku ini, masyarakat dapat tahu dan membezakan kebaya Malaysia dengan negara-negara lain. Kebaya Malaysia sudah tentu ada keunikannya tersendiri.

β€œSementara itu, kami berharap kerjasama antara FM Group dengan MOTAC ini dapat memperkenalkan lagi kebaya Malaysia di peringkat antarabangsa,” tambahnya lagi.

Written by: Salma


Previous post