Selebriti terkenal, Noor Neelofa berkongsi sedikit ilmu berkenaan kehidupan berumah tangga dan peranan yang harus dipikul sebagai seorang suami mahupun isteri.
Kongsi Neelofa, perkahwinan adalah medan latihan paling konsisten dan paling jujur untuk mengasah akhlak emosi, nafsu dan tanggung jawab.
“Bila kita kahwin, kita bukan sekadar jadi ‘isteri orang’ atau ‘suami orang’.
“Kita masuk dalam satu sistem tarbiah yang Allah sendiri cipta untuk mendidik nafsu, membentuk sabar, dan melatih kita hidup dalam disiplin agama setiap hari.
“Ini bukan latihan seminggu. Ini hari-hari, seumur hidup. Dan semuanya ialah latihan agama, bukan beban dunia.
“Sebab perkahwinan ialah medan latihan paling konsisten, paling real, dan paling jujur untuk asah akhlak, emosi, nafsu dan tanggungjawab,” katanya.

Dalam pada itu, ibu kepada dua cahaya mata ini menjelaskan, perkahwinan bukan untuk berseronok tetapi jalan untuk menuju syurga bersama-sama.
“Sebab tu Nabi tak bagi nikah sekadar seronok. Tapi sebagai jalan untuk syurga berdua. Dan jalan itu hanya nampak bila kita letak taqwa di depan, bukan nafsu.
“Perkahwinan ni ajar kita tundukkan kehendak demi tanggungjawab.
“Perkahwinan bukan tempat kita dapat apa kita nak tapi tempat Allah uji adakah kita sanggup beri apa yang pasangan perlu,” jelasnya.
Perkara itu dikongsi Neelofa menerusi hantaran di ruangan Instagram Stroy miliknya pada Khamis.
Sekadar info, Neelofa kini sedang sibuk membuat persiapan untuk sebuah acara yang iaitu, ‘Marriage With Ihsan’ yang akan didakan di MATRADE, Kuala Lumpur tidak lama lagi.