Pempengaruh, Nur Nilam Ortiz mendakwa pelakon, Azlan Komeng telah menyulitkan proses perceraian mereka.
Menerusi sesi siaran langsung di TikTok, Nilam yang gagal menahan sebak dilihat menangis teresak-esak meluahkan rasa kecewa apabila dianiaya oleh suaminya itu.
“Apa yang saya rasa sekarang ini adalah satu pengkhianatan yang sangat besar. Saya dah biasa orang tikam belakang, tetapi kali ini yang menikam adalah suami saya sendiri.
“Saya dah move on, tapi jauh di sudut hati masih ada rasa kecewa,” katanya.
Mengulas lebih lanjut, Nilam berkata dia sudah memfailkan tuntutan fasakh terhadap Azlan yang enggan melepaskannya.
“Saya tuntut fasakh, sebab saya tahu dia tak nak ceraikan saya. Saya balik Siam dia cari saya. Saya nak keluar daripada rumah ini, dia akan sabit saya nusyuz. Dia buat jalan saya susah… saya dah penat,” katanya.
Dalam pada itu, Nilam juga menjelaskan dia sudah tidak boleh hidup bersama Azlan dek rasa hancur dan kecewa dalam hatinya saat suami mahu berkahwin lain.
“Saya cakap dengan dia, ‘macam ni lah Komeng.. saya dengan awak tak boleh dah. Macam mana pun awak cuba usaha, saya tetap tak boleh’,” luahnya.
Sebelum ini, Nilam mencuri perhatian selepas hadir ke Mahkamah Rendah Syariah, namun tidak menjelaskan lebih terperinci mengenai tujuannya ke situ.