

Seorang pengasuh direman enam hari hingga Isnin depan bagi membantu siasatan kematian seorang bayi lelaki tujuh bulan di sebuah rumah di Bandar Sri Sendayan, dekat sini, Selasa lalu.
Ketua Polis Seremban, Azahar Abdul Rahim, berkata wanita 38 tahun itu direman mulai semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.
“Hasil bedah siasat belum diperoleh bagi mengenal pasti punca kejadian dan siasatan masih diteruskan,” katanya kepada Bernama di sini.
Semalam, media melaporkan bayi terbabit dipercayai tidak sedarkan diri ketika di bawah jagaan pengasuh itu di rumahnya di Bandar Sri Sendayan.
Mangsa dibawa ke klinik berhampiran sebelum dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar untuk rawatan lanjut, namun disahkan meninggal dunia selepas bantuan pernafasan kecemasan (CPR)…