Imbas untuk muat turun aplikasi

Inspirasi

Peniaga Air Balang Mengadu Pelanggan ‘Lari’ Lepas Amir Raja Lawak Datang Berniaga, Ini Respons Empunya Badan

today28 September 2023

Background

Sudah menjadi lumrah bagi peniaga untuk bersaing dalam bisnes, ada hari untung, adakalanya menanggung rugi. Namun bagi pelawak Amir Raja Lawak, 34,  itulah yang dihadapinya sebagai peniaga kecil demi mencari rezeki.

Terbaharu, Amir atau nama sebenarnya Mohammad Amirullah Azmi menerusi perkongsian di media sosialnya, memuat naik tangkap layar yang memaparkan mesej yang diterimanya daripada seorang peniaga minuman air balang.

Mesej itu menyatakan peniaga tersebut meluahkan rasa terkesan dengan kehadiran Amir yang turut berniaga di tempatnya, baru-baru ini.

Tambah individu tersebut, jualan harian peniaga air balang di kawasan tersebut merudum dek kerana kehadiran Amir.

Lebih mengejutkan, individu tersebut turut mendakwa bahawa pelanggan tetapnya turut ‘beralih arah’ kepada perniagaan air balang yang diusahakan Amir sendiri.

Amir Raja Lawak
Tangkap layar mesej yang dimuat naik Amir

Tidak berdiam diri, Amir tampil menjelaskan perkara tersebut dengan menyatakan kehadirannya di kawasan tersebut sekadar mahu berniaga secara santai.

“Minta maaf kepada peniaga air di sekitar Taiping / Kamunting terutama peniaga air balang sekiranya kehadiran saya menyinggung anda semua.

“Harap customer tetap tu teruslah support peniaga-peniaga jalanan yang anda biasa berurusan.

“Saya datang niaga kat Taiping / Kamunting ni pun santai-santai je, tak ada lah nak tekan nak buat sale sangat, sebenarnya sambil bantu sahabat lama saya untuk promote kedai dia kat sini, dia lagi lah struggle sebab overhead yang ditanggung terjejas.

“Saya pun ada kerja lain juga nak settle kat sini dengan sahabat saya ni, tu yang saya datang sini,” jelasnya.

Tambah anak jati Kelantan ini, dia berpendapat adalah tidak wajar untuk menyalahkan dirinya kerana dia juga turut berasa terkesan sebagai peniaga.

Malah Amir turut menegaskan, dia berniaga di kawasan tersebut untuk tempoh yang singkat sahaja.

“Rata-rata peniaga sekarang ni semuanya terkesan, saya harap jangan lah letak kesalahan 100% pada saya lagipun saya datang niaga kat sini kejap je, last niaga hari Sabtu 30hb ni.

“Didoakan agar segala urusan kita semua dipermudahkan dan dilimpahkan rezeki selalu, aamiin,” tutupnya positif.

Untuk info, Amir mengusahakan produk minuman pelbagai perisa di bawah jenamanya iaitu Air Jagung Amirreka sejak 2017.

Amir Raja Lawak
Amir tampil memberi penjelasan

Written by: Aqilah


Previous post