
Seramai 1.3 juta penjawat awam Gred Utama B dan ke bawah, termasuk lantikan kontrak, akan menerima bantuan khas kewangan RM1,500 di bawah Belanjawan 2027.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata kerajaan turut memberikan bantuan RM750 kepada lebih sejuta pesara kerajaan, termasuk veteran berpencen dan tidak berpencen.
Jelasnya, bantuan itu diberikan sebagai penghargaan terhadap jasa penjawat awam kepada negara.
“Pembayaran bantuan khas ini akan dibuat sebanyak dua kali, iaitu sebelum Aidilfitri dan sempena ambang 7 Dasawarsa Merdeka,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027.
Langkah itu menyusul pelarasan gaji penjawat awam di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam yang menyaksikan kenaikan gaji sehingga 15% dengan peruntukan tambahan RM18 bilion.