Selepas berita perceraiannya diumumkan pada malam Rabu, bekas suami kepada pelakon popular, Nora Danish iaitu Nedim Nazri kelihatan memuat naik hantaran menerusi Instagram miliknya.
Menerusi perkongsian tersebut, Nedim kelihatan akur dengan keputusan yang dibuat kedua belah pihak selain percaya bahawa jodoh itu adalah ketentuan Tuhan.
“Tiada yang berubah cuma dia bukan milikku dalam Islam. Percayalah, kalau dia milikku.. dia akan kembali kepadaku,” kongsinya.
Dalam hantaran sama, Nedim turut memuat naik fotonya memejamkan mata seakan-akan memberi gambaran bahawa dia reda dengan ujian yang menimpa rumah tangganya.
Menjengah ke ruangan balas, rata-rata pengikut Nedim mendoakan agar rumah tangga yang dibina bersama Nora kembali terjalin.
Bahkan, ramai yang terkejut dan tidak menyangka pasangan bahagia ini mengambil keputusan untuk bercerai dengan talak satu.
Terdahulu, Nora dan Nedim hadir di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur bagi prosiding perceraian mereka.
Difahamkan, kedua-duanya bersetuju untuk berpisah secara baik, sekaligus memaklumkan keputusan yang diambil turut diketahui oleh anak-anak mereka.
Untuk rekod, Nora dan Nedim mendirikan rumah tangga pada pada 30 Mac 2017 dan dikurniakan cahaya mata lelaki, Mohamed Neqayl berusia enam tahun.
Sebelum ini, Nora pernah berkahwin dengan Datuk Rizal Ashram Ramli atau Jejai pada 20 Jun 2006 dan dikurniakan cahaya mata lelaki, Putra Rayqal, 15, sebelum sah bercerai pada 2008.
