Imbas untuk muat turun aplikasi

Artikel

Pernah Urus Kerjaya Seni Fify Azmi, Haidar Hasanudin Bela Bekas Kekasih

today29 June 2022

Background

Pelakon baharu, Haidar Hasanudin tampil membela Fify Azmi selepas mendengar khabar angin tentang aktres itu mengambil barang terlarang demi mendapat penghayatan dalam lakonan.

Menurut Haidar yang merupakan bekas kekasih dan bekas pengurus Fify, dia mengenali wanita itu sudah cukup lama sejak dirinya belum bergelar seorang pelakon lagi.

“Saya dengan Fify berkenalan agak lama dari 2015, banyak perkara juga yang kami buat bersama, kami pernah digandingkan sebagai pengacara program bersama, tambahan lagi kami dulunya bekerja di bawah syarikat yang sama.

“Kemudian dia yang terlebih dahulu berlakon, jadi saya sebagai antara yang rapat dengan dia, diminta untuk membantu dia dari segi jadual dan pengurusan yang lain.

“Dengan ilmu sedikit yang saya ada ketika bekerja belakang tadbir, saya gunakan ia untuk bantu dia. Dalam erti kata mudah, saya pengurus kepada Fify waktu itu,” katanya.

Sebagai bekas pengurus pelakon wanita itu, Haidar turut menyifatkan Fify seorang sangat komited dan bertanggungjawab dalam kerjayanya.

“Bila isu Fify viral berkenaan barang terlarang saya agak terkejut juga bila membacanya, sepanjang kita kenal tidak sekali pun dia mengambil barang terlarang seperti yang diperkatakan,” katanya.

Biarpun hubungannya bersama Fify mula renggang pada tahun 2020, dia tetap mendoakan kebahagian Fify yang akan berumah tangga tidak lama lagi.

“Fify pelakon yang bagus. Saya sentiasa mendoakan kejayaan Fify walau di mana pun dia berada dan apa jua dia lakukan.

“Saya juga akan mendoakan kebahagian dia bersama pasangan,” jelasnya.

Terdahulu, Fify Azmi atau nama sebenarnya Nur Afiqah Mohamad Azmi membuat laporan polis mendakwa wang hasil lakonannya telah dibawa lari oleh pengurusnya yang dikenali Nora, pada 7 Jun lalu.

Sumber: Gempak

Written by: Aqilah