Imbas untuk muat turun aplikasi

Artikel

“Pihak Penganjur Tak Abaikan…” – Kamal Adli Kena Serang, Roslan Shah Perjelas Keadaan Sebenar

today15 March 2023

Background

Selebriti kelahiran Singapura, Roslan Shah tampil menegaskan lokasi ekspo pelakon Kamal Adli diserang mempunyai pengawal keselamatan yang disediakan oleh pihak penganjur.

Roslan yang bertanggungjawab membawa selebriti ke negara seberang tersebut menceritakan detik-detik kejadian itu berlaku dan mahu semua pihak menunggu kenyataan daripada Kamal dan Uqasha sendiri.

“Ketika kejadian, saya berada di luar dewan kemudian saya masuk tiba-tiba kejadian itu berlaku, saya nampak darah dan Uqasha menjerit dan menangis.

“Ramai juga rakan selebriti yang ada di sana ketika kejadian. Saya sebak dan jadi marah kerana saya yang bawa mereka ke sana.

“Saya tahu ramai rakan artis yang beri kenyataan tapi bagi pihak saya tiada kerana menunggu kenyataan daripada Kamal dan Uqasha sendiri nanti di Kuala Lumpur.

“Saya perlu berhati-hati dalam beri kenyataan kerana ia sangat sensitif, isu ini pihak polis masih menyiasat, kita tak boleh tokok tambah daripada pihak luar seperti netizen,” katanya kepada XTRA ketika ditemui pada sidang media majlis berbuka puasa amal bersama Khai Bahar di Hotel Grand Barakah, Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Disoal mengenai tahap keselamatan di tempat kejadian, Roslan memberitahu terdapat pengawal keselamatan di luar dewan.

Malah Roslan menyifatkan apa yang terjadi adalah pengajaran buat penganjur.

“Sebenarnya pihak penganjur ada pengawal keselamatan di luar cuma kita tidak tahu benda ini terjadi.

“Seumur hidup saya bawa rakan artis ke sana selama 18 tahun perkara ini tidak pernah terjadi.

“Ia satu pengajaran untuk kita beritahu kepada pihak penganjur agar lebih meningkatkan tahap keselamatan seperti ada pengawal pengiring, buat ‘double check’,” kongsinya.

Dalam pada itu, Roslan turut memaklumkan segala kos keperluan Kamal dan Uqasha ditanggung sepenuhnya oleh pihak penganjur.

“Pihak penganjur tidak abaikan, mereka juga membantu Kamal dan Uqasha dari segi kos rawatan. Pengangkutan pulang ke Malaysia juga ditanggung.

“Saya kena bertanggungjawab, saya beri motivasi dan semangat kepada Uqasha sebab ada netizen cakap saya ini memandai-mandai, bukan. Saya cuma menolong mereka seadanya. Kalau tidak, ada yang cakap saya ‘lepas tangan’ pula.

“Insya-Allah isu ini akan reda,” harapya.

Pada Ahad, pelakon Uqasha Senrose memaklumkan suaminya, pelakon Kamal Adli cedera parah selepas diserang oleh individu tidak dikenali di Singapura.

Foto kredit: Shiddiqin Zon / Media Mulia

Written by: Aqilah


Previous post