Imbas untuk muat turun aplikasi

Artikel

Pukul & Tendang Isteri.. Bekas Suami Penyanyi Dangdut Dipenjara 3 Bulan, Denda RM2,000

today22 November 2022

Background

Bekas suami penyanyi yang juga ahli perniagaan, Reduan Mahamood, 58, dihukum penjara tiga bulan dan denda RM2,000 di Mahkamah Majistret Kajang kerana memukul dan menendang isterinya.

Memetik laporan Bernama, Majistret Nik Siti Norazlini Nik Mohamed Faiz menjatuhkan hukuman itu selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.

Nik Siti Norazlini turut menasihati tertuduh supaya tidak mengulangi kesalahan sama kepada sesiapa sahaja termasuk isterinya.

β€œKes ini bukan sahaja berkepentingan awam malah kepentingan kepada mangsa dan anak yang turut terlibat…saya harap hukuman ini dapat memberi pengajaran kepada kamu. Seorang isteri adalah pendamping bukannyaΒ punching bag,” katanya.

Reduan didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas Adrina Mohd Ariff, 45, dengan memukul dan menendang mangsa menggunakan tangan dan kaki di rumah mereka di Batu 9, Cheras, pada 5.13 petang 14 November lalu.

Reduan yang diwakili peguam Mohd Shafiq Ahmed Bazari memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya yang mempunyai dua anak telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu.

β€œTertuduh menghidap penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi yang memerlukannya membeli ubat serta perlu kerap pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan selain dia penanggung utama keluarga,” kata Mohd Shafiq.

Timbalan Pendakwa Raya Norfarhanim Abdul Halim memohon hukuman sewajarnya sebagai pengajaran kepada tertuduh supaya bijak dalam mengambil sebarang tindakan pada masa hadapan.

Pada 19 November lalu, Harian Metro melaporkan polis menahan bekas suami penyanyi dangdut yang memukul isterinya selepas laporan dibuat dan kejadian itu tular di media sosial, baru-baru ini.

Sumber: Bernama & Harian Metro

Written by: Aqilah


Previous post