
KUALA LUMPUR: Rang Undang-undang Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (Pindaan) 2024 dibentang bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, antara lain untuk memindahkan segala fungsi Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
RUU bagi meminda Akta Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (Akta 788) itu dibentang Timbalan Menteri Pengangkutan Hasbi Habibollah.
Bacaan kedua dan ketiga rang undang-undang itu dijadual dibentangkan pada mesyuarat yang sama.
Menurut naskah biru yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, rang undang-undang itu dipinda untuk memindahkan segala fungsi Mavcom berhubung pengawalseliaan hal ehwal ekonomi dan komersial berkaitan dengan industri penerbangan awam kepada CAAM disebabkan oleh pembubaran Mavcom.
Dengan pindaan ini, CAAM menjadi badan kawal selia tunggal berkaitan dengan industri penerbangan…