
MACHANG: Rang undang-undang (RUU) baharu berkaitan hukuman tahanan di rumah bakal dibentangkan di Parlimen tahun depan, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata, Jemaah Menteri sudah memberikan kelulusan dasar untuk pelaksanaan RUU itu.
“Ketika ini RUU berkaitan sedang digubal oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) dan ketua pengarah Jabatan Penjara (Nordin Muhamad) sebagai pemegang taruh.
“Selepas RUU itu digubal kita akan membentangkan kepada Kabinet sebelum dibentangkan kepada Parlimen dan jangkaannya pada tahun depan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan program Santuni Madani: Satu Pemimpin Satu Kampung di Bukit Tiu.