Imbas untuk muat turun aplikasi

Artikel

Salina Saibi Tumpang Gembira Hubungan Syamsul Yusof Dengan Keluarga Kembali Pulih

today17 March 2025

Background

Meskipun dianggap sebagai anak emas Skop Production, namun pelakon yang juga teman rapat kepada pengarah Syamsul Yusof, Salina Saibi meluahkan rasa syukur dan gembira tatkala melihat hubungan kekeluargaan mereka kembali akrab.

Menurutnya, dia bersyukur apabila doanya itu akhirnya dimakbulkan Allah SWT.

“Kita tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku antara mereka, tetapi apabila mereka kembali berbaik, saya yakin seluruh keluarga Skop Production turut merasa gembira.

“Alhamdulillah, saya turut berasa bahagia. Inilah yang saya harapkan selama ini, malah setiap kali solat saya tidak pernah lupa untuk mendoakan mereka,” katanya.

Salina berkongsi mengenai perkara itu ketika ditemui pada sidang media Starvendor KL Mega Raya Festival 2025 yang berlangsung di Ruang Rama Event Space, Petaling Jaya baru-baru ini.

Dalam pada itu, pelakon berusia 43 tahun itu turut berkongsi bahawa dia pernah menghubungi pengarah filem Munafik tersebut sebelum ini.

“Sebagai kawan, saya ada berhubung dengannya sebelum ini, namun saya tidak secara langsung menyentuh isu keluarganya. Saya hanya memberi bayangan sahaja.

“Syamsul tidak menunjukkan sebarang emosi, reaksinya tenang dan lebih banyak berdiam diri. Kami juga tidak pernah bertemu, hanya berkomunikasi melalui media sosial.” jelasnya.

Mengulas lanjut, pelakon Gerak Khas Undercover ini turut berharap agar hubungan baik dalam keluarga Syamsul terus berkekalan.

“Saya memang rapat dengan Syamsul, tetapi saya tidak mahu mencampuri urusan peribadinya dan lebih selesa untuk tidak memberikan komen lanjut kerana kita tidak tahu keadaan sebenar.

“Kita doakan yang terbaik kerana setiap keluarga pasti ada turun naiknya. Tidak ada siapa pun yang mahu melihat perpecahan berlaku dalam sesebuah keluarga.

“Saya berharap silaturahim mereka terus erat, dan sesiapa yang melihat pasti turut merasa bahagia,” kongsinya.

Sebelum ini, Syamsul dan keluarganya dilihat kembali mesra ketika bercuti bersama di Switzerland sekitar Januari lalu.

Untuk rekod, konflik antara Syamsul dan kedua ibu bapanya mula tercetus apabila dia dilaporkan sudah lama tidak berhubung dengan keluarga selepas berdepan kemelut rumah tangga dengan bekas isterinya, Puteri Sarah Liyana, sehingga membawa kepada perceraian.

Keadaan semakin tegang apabila pengarah itu berkahwin secara rahsia dengan Ira, anak kepada pelakon veteran Kazar Saisi.

Bagaimanapun,  Syamsul akhirnya kembali ke pangkuan keluarga selepas perceraiannya dengan Ira pada September tahun lalu.

Written by: Aqilah


Previous post