Pempengaruh sensasi, Sasha Abdul Aziz tampil menerima dengan hati terbuka teguran pendakwah selebriti, Ustazah Asma’ Harun, berhubung isu rawatan mengetatkan atau memutihkan bahagian kemaluan yang menjadi perbincangan hangat sebelum ini.
Menerusi perkongsian di platform Threads miliknya, Sasha menjelaskan niat asalnya berkongsi pengalaman itu adalah sebagai seorang ibu yang bercakap secara jujur mengenai kesihatan dan keyakinan diri wanita selepas melahirkan anak.
“Saya faham topik ini sensitif dan setiap orang mempunyai pandangan serta pegangan masing-masing. Saya berkongsi perjalanan saya sebagai seorang ibu yang bercakap secara terbuka tentang kesihatan wanita dan keyakinan diri selepas bersalin.
“Namun selepas melihat penjelasan Ustazah yang menyatakan perkara ini adalah haram, saya belajar sesuatu yang baharu hari ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Sasha mengakui keterujaannya dalam berkongsi perkara berkaitan kecantikan kadangkala menyebabkan dia terlebih berkongsi di media sosial.
“Saya akan cuba untuk tidak terlebih berkongsi selepas ini. Kadang-kadang saya terlalu teruja bila melibatkan hal kecantikan, semua benda rasa nak kongsi.
“Niat saya tidak pernah untuk menyinggung perasaan mana-mana pihak. Saya akan menurunkan hantaran tersebut,” katanya lagi.

Sebelum ini, Sasha memaklumkan dia menjalani rawatan laser bagi tujuan mengetatkan dan mencerahkan bahagian intim, sekali gus mengundang pelbagai reaksi serta spekulasi dalam kalangan netizen di media sosial.
Artikel Berkaitan: “Boleh Jatuh Haram Buat Rawatan Alat Kelamin Walau Alasan Untuk Suami” – Ustazah Asma’ Harun