Pelakon, Diana Danielle menepis kenyataan suaminya, Farid Kamil yang memaklumkan mereka masih berhubung ketika ditemui media, baru-baru ini.
Menerusi hantaran di Instagram Story (IGs), Diana menjelaskan mereka tidak saling menghubungi, malah dia turut memberi notis kepada Farid untuk keluar rumah.
“Kami tidak bercakap on the phone semalam. Dan saya sudah beri notis dalam Whatsapp untuk dia pindah rumah secepat mungkin kerana akan lalui process perceraian,” katanya.
Sementara itu, aktres filem popular Imaginur ini turut berharap agar Farid menghormati keputusannya yang tidak mahu lagi tinggal sebumbung.
“Saya tak akan benarkan hal yang tak pernah berlaku dikatakan berlaku, dan saya juga tidak mahu sebumbung lagi seperti yang sudah dimaklumkan sendiri kepadanya. Sila hormati,” katanya.
Sebelum ini, Farid memaklumkan konflik hubungan antara mereka berdua hanya disebabkan oleh perselisihan faham kecil, yang dianggap satu kebiasaan buat pasangan suami isteri lain.
Isnin lalu, Diana mengejutkan ramai apabila menyatakan hasratnya mahu bercerai buat kali kedua terhadap Farid dalam satu hantaran dimuat naik di Instagram.
Terdahulu, Farid dan Diana sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Selangor pada 10 Ogos 2023.
Mereka bagaimanapun sah rujuk semula pada 31 Ogos 2023 ketika masih dalam idah.
Untuk rekod, Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8.