Baru-baru ini, kumpulan Floor 88 menjadi salah seorang wakil Malaysia untuk membuat persembahan secara langsung di Asean-India Music Festival, di New Delhi, India.
Vokalis kumpulan Floor 88, Ayie Elham, Ayie Elham mengakui ralat tidak dapat bersama ahli-ahli lain membuat persembahan secara langsung di Asean-India Music Festival, di New Delhi, India pada Sabtu lalu.
Jelas Ayie atau nama sebenarnya Nik Fadlee Elhamshah, 27, dia mahu memberi tumpuan terhadap komitmenya terhadap program Famili Duo 4 (FD 4) yang disertai bersama sepupu, Salma Asis.
“Kami mencari pengganti untuk vokalis dan kebetulan vokalis lama bekerja dengan kami sebagai kru teknikal. Sebelum ini dia juga pernah mewakili Malaysia bersama Floor 88 ke Vietnam.
“Sebagai ahli Floor 88 saya bangga melihat mereka di sana,” katanya.
Meskipun begitu, Ayie bagaimanapun meluahkan rasa bangga kumpulan floor 88 memberikan persembahan yang terbaik pada acara tersebut.
“Saya ralat juga sebab kami sudah lama bersama tetapi kami tetap menyokong antara satu sama lain tetapi saya kata kepada mereka, mereka tetap kena pergi kerana ia adalah peluang keemasan untuk Floor 88 membina nama di luar negara.
View this post on Instagram
Ayie berkata demikian ketika ditemui pada sidang media minggu keenam FD 4 yang berlangsung di Studio NTV7 Glenmarie, Shah Alam pada Ahad.
Dalam pada itu, Ayie turut sempat berkongsi keterujaan berjaya melayakkan diri ke pentas separuh akhir FD 4 bersama pasangan duo sepupunya, Salma Asis.
“Alhamdulillah saya sangat bersyukur, sebab yang bertanding adalah nama-nama besar dan pernah menjadi juara di tempat masing-masing. Ia juga memberi tekanan kepada saya.
“Saya bawa Salma yang juga pernah bergelar juara, jadi niat saya adalah untuk membantu menaikkan semula nama Salma di dalam industri.
“Buat masa ini, Alhamdulillah ramai yang sudah nampak Salma dengan karakter yang berbeza setiap minggu. Saya bersyukur dapat pecahkan ‘kepompong’ Salma di FD,” katanya.
Jangan lupa saksikan Famili Duo 4 yang bersiaran selama lapan episod bermula 20 Oktober 2024, setiap hari Ahad, pukul 9.00 malam di TV3 dan boleh distrim langsung secara HD melalui Tonton di www.tonton.com.my atau di aplikasi Tonton yang boleh dimuat turun dari Google Play atau App Store.