Pelakon dan model terkenal era 1990-an, Azah Aziz memilih untuk kembali pulang ke Malaysia selepas lebih 20 tahun menetap di Kanada.
Menerusi beberapa perkongsian di Instagram (IG), Azah atau nama lengkapnya Norazah Aziz, 50, memaklumkan dia dan keluarga sudah pun berangkat untuk kembali menetap di tanah air sejak dua hari lalu.
“Selamat tinggal Montreal, Kanada, #newbeginning (permulaan hidup baharu) dan #backtomycountry (pulang ke negara sendiri).
“Permulaan yang baharu, selamat tinggal dan jumpa lagi. Saya akan merindui semua sahabat saya di Montreal,” katanya.
Azah turut berseloroh dia akan menetap di Dubai sekiranya netizen Malaysia tidak menerimanya kepulangannya ke tanah air.
“Perhentian pertama Dubai. Dubai akan menjadi rumah kedua saya.
“Kalau netizen Malaysia terlampau, kita lari pergi Dubai,” katanya.
“Aaron dan Justin paling excited,” kongsinya ringkas.
Untuk info,Azah berkahwin dengan suaminya, Daud Leroy Abdullah pada 1995 dan sejak itu dia menetap di Montreal, Kanada.
Mereka dikurniakan tiga cahaya mata lelaki iaitu Aaron, 26, Ryan, 20 dan Justin, 17.
