Imbas untuk muat turun aplikasi

Artikel

“Selepas Ada Anak, Saya Berfikir Lebih Lagi Terutama…” – PU Riz Ceburi Bidang Baru

today5 July 2022

Background

Pendakwah selebriti, Haris Ismail atau PU Riz, 27, kini semakin aktif dalam bidang perniagaan.

Tidak hanya memenuhi jemputan untuk berkongsi ilmu di program televisyen dan di pelbagai majlis serta acara, Haris turut berjinak dengan bisnes Markaz Tijaari dan inai Nunha bersama isterinya, pengacara dan usahawan Neelofa.

Meluaskan lagi langkahnya dalam bidang perniagaan, Haris kini terlibat dalam bidang pendidikan pra-sekolah, Islah Junior.

“Apabila isteri hamil, saya mula fikir anak kena utamakan pendidikan. Selepas ada anak, saya berfikir lebih lagi terutama membabitkan pendidikan agama Islam untuk masa depannya.

“Saya dan pengasas bersama dengan Mohd Fakhruddin Mohd Ariff memperkenalkan pra sekolah, Islah Junior yang memberi fokus kepada pemahaman agama Islam sedari kecil selain pembelajaran lain.

“Silibus sekolah ini membantu kanak-kanak mendapat pendidikan yang seimbang antara dunia dan akhirat. Ini satu lagi cabang perniagaan yang saya terokai. Kalau ditanya kenapa saya terbabit, ia adalah untuk anak bangsa. Kalau tak fokus dari usia awal kanak-kanak, nanti banyak mereka terlepas contohnya dalam bab agama.

“Saya nak melihat anak-anak kita membesar dengan ilmu dunia dan akhirat yang seimbang. Kalau boleh nak mereka ada pemahaman agama sedari kecil,” katanya.

Tambah Haris, Islah Junior dikhususkan buat kanak-kanak berusia tiga hingga enam tahun.

“Sebelum ini, Fakhruddin pernah buka sekolah sendiri. Selepas ada pengalaman yang luas, dia nak buka sekolah sendiri pula. Jadi, dia ajak saya untuk turut serta sebagai pengasas bersama. Saya cakap, nak tengok kertas kerja dan cadangan dulu.

“Pada awalnya saya tengok satu persatu dulu dari segi silubus dan sistem yang bakal digunakan. Kebetulan jurusan pengajian saya dulu adalah pendidikan, jadi saya tengok pendekatan pengajaran mereka bagus. Keunikannya adalah penggunaan bahasa pelbagai iaitu ‘uncomman words’ yang menjadikan penggunaaan kosa kata itu pelbagai. Itu yang saya minat dan akhirnya ambil keputusan untuk terbabit sama,” katanya.

Menyediakan silibus subjek berkaitan agama Islam, Haris juga menggerakkan perancangan pengajaran, promosi dan pemasaran untuk Islah Junior.

“Islah Junior secara rasmi ditubuhkan awal tahun ini dan baharu saja dirasmikan pada 1 Julai lalu. Ini sekolah baharu dan nama pun saya yang bagi. Alhamdulillah, sekarang sekolah ini sudah ada empat cawangan iaitu di Shah Alam, Klang, Putrajaya dan Cyberjaya.

“Bahasa pengantar dalam bahasa Inggeris dan Arab. Guru-giri pula majoriti yang mendidik sekurang-kurangnya lepasan Diploma Pendidikan sama ada dalam bidang Inggeris atau Arab. Kurang daripada itu, mereka menjadi penjaga dan membabitkan pengurusan di sekolah.

“Insya-Allah, pada 6 Julai ini (esok) kami akan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universiti Selangor (Unisel) yang mana pelajar bidang pendidikan mereka boleh menjalani latihan industri (praktikal) di Islah Junior,” katanya.

Written by: Aqilah