Imbas untuk muat turun aplikasi

Artikel

Selesa Dikenali Sebagai Pelakon Aksi, Hairul Azreen Tak Kisah Dikritik

today13 June 2023

Background

Impian untuk bergelar pelakon aksi tercapai apabila nama Hairul Azreen sering menjadi dambaan pengarah untuk melakonkan watak tersebut di layar perak.

Hairul atau nama sebenarnya Hairul Azreen Idris berkata dia gemar mengambil tawaran-tawaran lakonan bergenre aksi kerana ia adalah minatnya sendiri.

“Terus terang saya cakap saya banyak dapat tawaran berlakon untuk watak tersebut sebab saya betul-betul minat.

“Saya buat sesuatu perkara yang penat, susah dan sakit. Ia memerlukan penilaian dari pelbagai aspek seperti kos persiapan badan dan sebagainya.

“Untuk cerita aksi ia dah sinonim dengan saya dan ramai juga bercakap mengenai itu. Alhamdulillah ia satu perkara yang saya impikan selama ini,” katanya.

Lebih selesa dikenali sebagai pelakon aksi, Hairul akui tidak kisah dengan cakap-cakap netizen yang mengkritik dirinya sering muncul dengan watak-watak aksi.

“Dalam industri ini, ada yang suka ada juga yang tidak. Saya buat sebab saya minat.

“Alhamdulillah, filem-filem saya berjaya. Mungkin ramai yang tak suka saya. Ramai bercakap ‘asyik-asyik muka saya sahaja’.

“Bagi saya jika saya meminati seseorang saya tak akan bercakap begitu. Lain orang lain pendapat, terpulang lah nak buat apa yang penting saya buat yang terbaik untuk diri saya,” ujar Hairul positif.

Dalam perkembangan lain, Hairul memaklumkan dia kini dalam proses berehat seketika selepas mengalami kecederaan pada bahagian ligamen krusiat anterior (ACL) lutut kirinya.

Suami kepada pelakon dan pengacara Hanis Zalikha itu juga bakal muncul dengan filem Malbatt: Misi Bakara yang akan ditayangkan Ogos depan.

Hairul bakal membintangi filem arahan pengarah sensasi, Syamsul Yusof, The Original Gangster

Sumber: Melodi TV3

Written by: Aqilah


Previous post