Pelakon dan pengacara Adriana Adnan gembira dapat mengendalikan podcast berjudul Ruang Terbuka.
Selesai bersiaran selama lapan episod untuk musim pertama, Adriana menjemput pempengaruh dan selebriti sebagai tetamu undangan untuk berkongsi cerita.
“Ruang Terbuka merupakan ruang untuk saya bercerita dan berkongsi kisah dengan tetamu jemputan mengenai pelbagai topik menarik. Saya gembira dapat berborak santai dan berkongsi pelbagai input dengan tetamu jemputan.
“Alhamdulillah, musim pertama podcast ini mendapat sambyran baik dan antara tetamu yang saya jemput adalah Liyana Jasmay, Syamimia, Hawa Rizwana, Ceddy Ang, Cikgu Zack Kirana dan ramai lagi.
“Saya juga dapat lepas gian mengacarakan program berbentuk santai kerana buat masa ini, saya sedang mengacarakan program Hello Doktor di TV3 dan ia merupakan bual bicara dengan topik serius,” katanya.

Bakal memasuki musim terbaharu, Adriana mahu mengangkat lebih banyak kisah masyarakat untuk dibincangkan secara santai namun dekat dengan hati orang ramai.
“Saya ada perancangan untuk musim baharu podcast Ruang Terbuka. Jika diizinkan, saya nak angkat lebih banyak cerita yang dekat di hati masyarakat dalam cara yang lebih santai dan mahu memberikan input positif.
“Saya juga menyimpan impian untuk mengundang Khairy Jamaludin menjadi tetamu Ruang Terbuka. Saya mahu korek mengenai transisi Khairy sebagai ahli politik yang kini giat menceburkan diri dalam industri hiburan,” katanya lagi.
Saksikan podcast Ruang Terbuka yang diterbitkan Adriana dengan kerjasama FYP Entertainment yang mula bersiaran bermula Mac lalu di saluran YouTube Adriana Adnan.