Setahun memakai gigi palsu terbukti berjaya!
Itu yang dilakukan oleh pelakon Rami Malek untuk menjayakan watak sebagai legenda rock Freddie Mercury dalam filem biopik Bohemian Rhapsody.
Malek memakai gigi palsu tu selama setahun sebelum proses penggambaran filem itu bermula.
Dan selepas 15 tahun menjadi anak seni, bakat Malek diiktiraf apabila menjulang trofi Pelakon Lelaki Terbaik, pada Anugerah Academy Ke-91 yang berlangsung awal pagi tadi.
Sebaik Oscar berada di tangannya, Malek meluahkan penghargaan terhadap vokalis kumpulan Queen itu dan tenaga di sebalik produksi filem terbabit.
“Secara peribadi, saya meraikan beliau dan filem ini dengan anda semua sebagai bukti kita memang ternanti-nantikan naskhah seperti ini.
“Saya ialah anak pendatang dari Mesir dan filem ini adalah sebahagian daripada kisah saya. Tiada yang lebih berharga, selain berterima kasih kepada semua yang mempercayai bakat saya.
“Kejayaan ini adalah sesuatu yang akan saya kenang sepanjang hidup,” katanya.
Malek yang mengakui hidup susah dan pernah menjadi penghantar pizza sebelum ke Hollywood, menewaskan calon lain iaitu Christian Bale (Vice), Bradley Cooper (A Star Is Born), Willem Dafoe (At Eternity’s Gate) dan Viggo Mortensen (Green Book).
Malek menamatkan ucapannya dengan memberi kata kata manis buat teman wanitanya, yang juga pasangannya dalam filem Bohemian Rhapsody, Lucy Boynton, yang membawakan watak Mary Austin.
“Lucy Boynton, anda adalah jiwa kepada filem ini. Anda sangat berbakat, dan anda berjaya menawan hati ini.”
Sejurus majlis berakhir, Malek terpaksa diberikan rawatan seketika selepas terjatuh berhampiran pentas, namun tidak mengalami kecederaan.
Malek juga mencatat sejarah sebagai pelakon ke-12 membawa pulang trofi Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem biopik dalam tempoh 17 tahun.
Filem Bohemian Rhapsody turut membawa pulang trofi bagi kategori Suntingan Filem, Suntingan Bunyi dan Adunan Bunyi Terbaik.