Penyanyi popular, Shila Amzah meluahkan rasa syukur dikurniakan dengan susuk seorang suami yang hebat.
Kata Shila, suaminya, Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli atau lebih mesra dengan panggilan Ubai merupakan seorang suami yang terbaik dalam menunjukkan contoh yang baik buat dirinya dan anak-anak.
“Thank you for being a great Husband. Thank you sebab selalu betulkan saya seandainya saya salah.
“Terima kasih kerana tidak perlu takutkan saya kerana kita saling hormat menghormati. Terima kasih kerana selalu memanusiakan insan lain,” katanya.

Dalam pada itu, pelantun lagu Pernah Punya Aku ini menitipkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kerana Ubai menerima dirinya seadanya termasuklah melayan anak tirinya, Seth Uwais Haris Idraki seperti anak sendiri.
“Terima kasih sebab layan seth seperti anak awak sendiri tanpa perlu kejam kepada anak tiri.
“Sesungguhnya bukan semua yang bernama tiri itu jahat. Yang baik itu ramai, yang kejam itu terlalu kejam,” jelasnya.

Perkara itu dikongsi Shila menerusi hantaran yang dimuat naik di Instagram Story (IGS) miliknya beserta fotonya bersama Ubai.
Untuk info, Seth Uwais adalah anak hasil perkahwinan pertama Shila dengan Haris Idraki Elias.
Shila kemudian berkahwin buat kali kedua bersama Ubai pada 5 Ogos 2023. Hasil perkahwinan pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata perempuan yang diberi nama, Rhea Akira.