Imbas untuk muat turun aplikasi

Artikel

Siti Nordiana Menggamit Kenangan Dalam Konsert

today15 May 2024

Background

Ibarat meraikan sambutan jubli perak penglibatan dalam industri hiburan, penyanyi Siti Nordiana menggamit kenangan peminat dalam konsert Memori Berkasih 25 Tahun Siti Nordiana yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada Sabtu lalu.

Menghiburkan peminat dengan dendangan lagu-lagu menarik sejak menceburkan diri dalam dunia nyanyian sehinggalah lagu-lagu hit terkini, penyanyi yang disapa dengan nama Nana itu membawa penonton mengembara bermula tahun 1999 sehingga kini.

Menariknya, Zepp Kuala Lumpur dibanjiri oleh peminat pelbagai lapisan umur. Bukan sahaja mereka yang dewasa dan seusia dengan Nana, malah peminat muda serta mereka yang sudah berusia berpangkat mak cik dan nenek juga hadir meraikan malam penuh bermakna untuk penyanyi kelahiran Negeri Sembilan ini.

Emosi penonton juga dijentik dengan persembahan istimewa Nana. Tampil solo atas pentas, Nana mengajak peminat sama-sama berduet menyampaikan rangkaian lagu popular yang pernah menyerlahkan namanya bersama Allahyarham Achik Spin.

Dianjurkan oleh Icon Entertainment, Johan Shamsudin bertindak selaku Pengarah Muzik konsert ini dan ia diiringi pemuzik hebat iaitu Eddie Slam, Ujang Exists, Wan Gigi, Kabung, Rizal, Paang, Yuaz dan Eja.

Nana menyampaikan lagu popular seperti Tak Upaya Menangis Lagi, Seribu Setia, Pelukanmu, Cinta Hanya Sandaran, Bukan Mengungkit Tapi Membangkit, Kasihmu Seakan Berubah, Arah Cinta, Nisan Cinta, Angkata, Terus Mencintaimu dan Hatiku Milikmu.

Dalam segmen tradisional, Nana membawakan lagu Benang Emas, Zapin Pak Ngah Balik, Bakawali dan Joget Pilihan Jiwa manakala di segmen lagu-lagu duet, Nana menyampaikan lagu Tragedi Cinta, Resipi Berkasih, Gurauan Berkasih, Memori Berkasih dan Paling Comel dengan paduan suara hadirin.

Menyempurnakan hajat untuk mengadakan konsert sempena ulang tahun ke-25 dalam industri, semoga karier seni Nana terus bersinar dan dapat menghiburkan peminat di persembahan dan konsert akan datang.

Written by: Salma


Previous post