Pelakon jelita, Sophia Albarakbah mengaku berasa puas hati dan selesa bergandingan bersama Alif Satar bagi menjayakan filem terbaharu lakonan mereka yang berjudul ‘Reeza GTR’.
Kata Sophia, dia juga berasa sangat lega kerana Alif merupakan seorang pelakon yang sangat profesional di set penggambaran sekaligus menyatakan hasrat bahawa dia juga terbuka untuk bekerjasama dengan aktor itu untuk menjayakan mana-mana naskhah pada masa akan datang.
“Ya betul, saya setuju dan lega kerana Alif seorang pelakon yang sangat profesional dan ada aura yang positif.”
“Semua orang yang berlakon dengan dia pasti akan rasa (aura) itu.”
“Alif juga tidak terlalu ‘try hard’ untuk buat sesuatu dan menghidupkan karakter,” ulasnya.
“Saya seronok bekerja dengan Alif dan kalau ada peluacang di masa akan datang untuk bekerjasama dia, saya akan terima.”
Sophia berkongsi perkara tersebut ketika ditemui usai tayangan perdana filem ‘Reeza GTR’ yang diadakan di GSC Mid Valley pada Jumaat.
Jaga nama baik pelakon lain jantina
Mengulas lanjut, Sophia ketika ditanya mengenai pengalamannya bekerjasama bersama Alif yang berstatus suami orang, pelakon filem ‘Saka Perawan’ itu memaklumkan, dia akan cuba sedaya upaya menjaga nama baik kedua belah pihak.
“Bila berlakon dengan pelakon lain jantina, sudah tentu saya nak jaga nama baik mereka juga.”
“Kelakuan dalam filem seperti pegang-pegang sikit itu hanyalah untuk menjayakan watak.”
“Bila keluar dari set penggambaran, kita akan buat hal masing-masing,” katanya.
Dalam pada itu, pelakon berusia 31 tahun ini merasakan tiada adegan bersama Alif di dalam filem ini yang akan membuatkan peminat pelantun lagu Cukup Indah itu marah atau pun berasa ‘cringe’ sewaktu menontonnya.
“Saya tak rasa peminat Alif akan marah melihat ‘scene’ bersama saya di dalam filem ini kerana cerita ini ‘cute’ sangat.”
“Tambahan pula, ‘percintaan’ Myra dan Reeza dalam filem ini tiada adegan yang akan membuatkan orang marah bila menontonnya,” ujarnya.
Sekadar info, Sophia dan Alif bergandingan bersama menerusi filem terbaharu arahan pengarah tersohor, Dr. Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang bertajuk ‘Reeza GTR’.
Selain Sophia dan Alif, filem yang akan ditayangkan pada 17 Oktober ini turut dibintangi Noki, Datuk Seri Eizlan Yusof, Ropie, Mas Anizan dan ramai lagi.