
PETALING JAYA: Sepasang suami isteri maut dalam kemalangan dua kenderaan di Jalan Pantai Batu 9, Tanjung Piandang, dekat Kuala Kurau pagi ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata mangsa lelaki berusia 59 tahun yang memandu Perodua Kelisa dan isterinya berumur 66 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun yang merupakan anak pasangan tersebut mengalami kecederaan,” katanya menurut Bernama.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kurau bergegas ke lokasi sejauh 9km selepas menerima panggilan pada 7.29 pagi tadi.
Menurutnya, nahas itu turut membabitkan sebuah Honda City, tetapi pemandunya tidak dapat dikesan.
Katanya, mangsa cedera dihantar ke hospital untuk rawatan, manakala mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.