
SHAH ALAM: Sekumpulan subkontraktor dan pembekal tempatan dalam projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) menuntut sebuah syarikat China melunaskan lebih RM25 juta yang sudah tertunggak lebih setahun.
Lebih 50 subkontraktor dan pembekal tempatan LRT3 pakej GS05 serta GS06 menyertai demonstrasi aman di Seksyen 1 Shah Alam hari ini bagi menuntut China Railway 17th Bureau Group (M) Sdn Bhd (CRCC17) melunaskan bayaran tertunggak itu.
Pengarah Urusan Izani Wawasan Enterprise Sdn Bhd Rozani Aziz berkata, sejak setahun lalu, subkontraktor dan pembekal yang menyiapkan pelbagai kerja mengikut bidang kepakaran masing-masing dalam dua pakej itu tidak menerima sebarang bayaran.
“Setiap bulan, kami dijanjikan berulang kali oleh pengarah projek CRCC17, bayaran akan dibuat,” katanya selepas menyertai demonstrasi aman itu.
