
PETALING JAYA: Dasar kerajaan beralih daripada subsidi pukal kepada bersasar sudah lama dipraktik negara maju antaranya Amerika Syarikat (AS), United Kingdom dan Eropah yang hasilnya disalur kepada pembangunan, kata penganalisis ekonomi.
Ahmed Razman Abdul Latiff dari Putra Business School berkata, malah pentadbiran Presiden Indonesia Prabowo Subianto yang mengangkat sumpah 20 Okt lalu turut mempertimbangkan dasar memberi subsidi kepada orang kaya dihentikan, sama seperti ditekankan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Kelebihan sistem ini dapat membantu mengurangkan ketirisan, pembaziran dan rasuah dalam pemberian peruntukan kepada rakyat, selain cegah penyeludupan di sempadan.
“Tindakan negara membangun seperti Malaysia dan Indonesia untuk turut mengurangkan subsidi pukal selari amalan negara maju,” katanya kepada FMT.
