Imbas untuk muat turun aplikasi

Onz

Sukan Berkuda Jadi Terapi Hisyam Hamid

today20 February 2025

Background

“Menunggang kuda memberikan kepuasan yang lebih daripada sekadar tuntutan untuk kekal sihat”.

Demikian respons aktor kacak Hisyam Hamid, apabila dia memilih sukan berkuda sebagai aktiviti kegemarannya kerana ia sebahagian daripada sunnah selain dapat memberikan pelbagai manfaat untuk kesihatan tubuh badan.

Menganggap sukan berkuda adalah salah satu aktiviti yang sangat menarik, menunggang kuda juga dapat mengajar seseorang itu menjaga stamina, sabar dan ia adalah sebahagian daripada sunnah.

“Hobi yang sering saya lakukan apabila ada waktu lapang adalah menunggang kuda.

“Biasanya, saya akan ke gim atau berlari untuk menjaga kesihatan. Bagi saya, menunggang kuda adalah aktiviti yang sangat menarik kerana ia juga sebahagian daripada sunah. Selain itu, aktiviti ini merupakan senaman yang sangat baik untuk fizikal, stamina, kesabaran, dan banyak lagi manfaatnya.

“Yang paling penting, saya sangat seronok ketika menunggang kuda, ia berbeza dengan senaman lain.

“Menunggang kuda memberikan kepuasan yang lebih daripada sekadar tuntutan untuk kekal sihat,” katanya kepada pemberita.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Hisyam Hamid (@hisyamhamid7)

Selain itu, Hisyam berkongsi bahawa dia baru sahaja berjinak-jinak memulakan sukan berkuda ini sejak dua tahun lalu selepas diperkenalkan oleh pelakon, Idzham Ismail.

“Minat saya terhadap menunggang kuda baru bermula dua tahun lepas. Idzham Ismail yang mencadangkan saya untuk mencuba aktiviti ini.

“Pada mulanya memang susah dan agak memenatkan, tetapi apabila saya mencuba, saya menjadi sangat seronok.

“Cabaran utamanya hanya pada permulaan kerana ada teknik dan cara tertentu yang perlu dipelajari sebelum menunggang kuda. Pada awalnya, saya kerap mengalami kekejangan kaki dan sakit badan, tetapi setelah menguasai teknik yang diajar, semuanya menjadi lebih mudah.

“Setakat ini, saya belum pernah jatuh dari kuda, walaupun pernah hampir terjatuh, namun saya sempat berpaut pada leher kuda,” jelasnya.

Tambahnya, sukan berkuda juga adalah  sebagai cara untuk melupakan kesibukan kerja meskipun terikat dengan jadual kerja yang padat.

“Sukan berkuda menjadi salah satu cara untuk saya berehat dan melupakan seketika kerja-kerja lain.

“Ia memberi ketenangan kepada fikiran dan jiwa. Aktiviti ini adalah terapi untuk saya,” katanya.

Walaupun tidak terlibat dalam sebarang komuniti atau kelab sukan berkuda, Hisyam tetap melakukan aktiviti ini bersama kenalan rapatnya.

Bahkan, aktor ini juga berkongsi, dia hanya membelanjakan RM1,000 untuk membeli topi keledar, sarung tangan, dan pakaian lengkap untuk sukan berkuda.

“Saya tidak menyertai mana-mana komuniti, tetapi ada saja rakan-rakan yang mengajak saya menunggang kuda di luar gelanggang. Apabila sudah mahir mengawal kuda dalam gelanggang, kita boleh menunggang kuda di tempat-tempat lain seperti pantai, hutan atau kawasan terbuka,” ujarnya.

“Untuk permulaan, saya hanya membelanjakan sekitar RM1,000 untuk membeli topi keledar, sarung tangan, dan pakaian lengkap untuk sukan berkuda.

“Malah boleh beli kelengkapan dengan harga yang lebih rendah, bergantung pada jenama. Saya ingat kelengkapan yang paling mahal saya beli adalah topi keledar, kerana saya sangat menyukainya,” ujarnya.

Sumber: Utusan

Written by: Salma


Previous post