Imbas untuk muat turun aplikasi

Artikel

Suki Low Sentuh Hati Menerusi OST Salju Rindu Di Bumi Auckland

today23 September 2024

Background

Penyanyi Suki Low kembali mencuri tumpuan di industri muzik tanah air dengan pelancaran single terbaharunya yang berjudul ‘Terlerai’.

Lagu ini juga menjadi runut bunyi (OST) bagi drama bersiri 28 episod, “Salju Rindu Di Bumi Auckland” yang bersiaran secara eksklusif hanya di Tonton bermula 16 September 2024.

Suki Low, nama yang tidak asing dalam dunia hiburan, memulakan kariernya selepas menjuarai program realiti popular One in a Million pada tahun 2006. Sejak itu, Suki telah mengukir namanya sebagai penyanyi serba boleh dengan suara yang memukau, serta terlibat dalam pelbagai projek nyanyian dan lakonan.

‘Terlerai’ merupakan single kedua Suki bersama Alternate Records yang bukan sahaja menandakan kembalinya Suki ke dunia muzik, tetapi juga memperlihatkan perkembangan vokalnya yang semakin matang.

“Lagu ini membawa kelainan daripada apa yang pernah saya nyanyikan. Ia menggabungkan elemen klasik dan melodinya mengingatkan saya kepada sebuah lagu ‘music box’ yang akan mengundang perasaan nostalgia kepada peminat dan pendengar,” jelas Suki.

Proses rakaman lagu ini mengambil masa sekitar enam jam sahaja, di mana Suki menunjukkan dedikasi yang tinggi dan komitmen sepenuhnya sepanjang sesi tersebut.

“Single ini merupakan lagu yang mencabar dari segi vokal. ‘Terlerai’ memerlukan nafas yang stabil dan panjang. Kerana ayat dekat part chorus kena disampaikan tanpa henti dan banyak bahagian yang kena berbisik,” jelasnya.

Namun, dengan latihan yang tekun, Suki berjaya menyampaikan lagu ini dengan penuh emosi dan keunikan.

Harapan Suki agar lagu ini dapat menyentuh hati pendengar terutama sekali kepada mereka yang sedang melalui fasa ‘healing’ dalam kehidupan.

Lagu ‘Terlerai’ ini diterbitkan oleh komposer dan penulis lirik tersohor, Mas Dewangga. Menurut Suki, pengalaman bekerjasama dengan Mas Dewangga sangat berharga.

“Mas Dewangga merupakan seorang yang sangat kreatif dan lagu-lagu ciptaannya selalu mampu menangkap halwa telinga pendengar. Dia seorang yang humble, santai dan sudi memberi ruang kepada penyanyi untuk mengukir penyampaian lagu mengikut stail sendiri,” ujarnya.

Melodi dan lirik lagu ini membawa pendengar merentasi perjalanan emosi dan setiap sudut melodinya bakal menyentuh perasaan serta akan membawa mereka merenung kembali pengalaman silam.

Mengangkat genre Pop Balada, lagu ini merangkumi elemen-elemen kehidupan yang sering dialami oleh khalayak ramai terutamanya dalam konteks hubungan yang berubah dari masa ke masa.

Menurut Mas Dewangga, Suki Low berjaya menzahirkan emosi dalam lagu ini melalui penyampaian vokalnya yang tenang dan penuh dengan perasaan.

Mas Dewangga menjelaskan bahawa lagu ini terinspirasi menerusi jalan cerita drama Salju Rindu di Bumi Auckland.

“Idea untuk menciptakan lagu ‘Terlerai’ lahir dari keinginan untuk menggambarkan perjalanan emosi dalam kisah cinta yang penuh cabaran, tetapi berakhir dengan kelegaan apabila dilepaskan.

“Ia bukan sekadar muzik, tetapi sebuah cerita tentang perasaan yang dibalut dalam melodi yang menyentuh. Suki membawa elemen keaslian dan kematangan dalam penyampaiannya, menjadikan lagu ini benar-benar hidup,” ujar Mas Dewangga.

Sepanjang kariernya, Suki juga telah menyumbangkan suara emasnya untuk pelbagai OST drama dan filem. Antaranya adalah ‘Siapaku’ (Camp Rock – 2008), ‘Terlalu Mencintaimu’ (Naziha – 2011), ‘Nelangsa’ (The Assistant – 2022) dan banyak lagi.

Ternyata, Suki terus membuktikan bakatnya sebagai seorang penyanyi yang mampu menyampaikan emosi dan cerita melalui setiap lagunya.

Ayuh saksikan drama bersiri 28 episod, Salju Rindu Di Bumi Auckland arahan Shuhaimi Zulkefli yang mengandingkan pelakon Riena Diana, Keith Foo, Nabil Aqil, Emelda Rosemila dan ramai lagi menerusi aplikasi Tonton bermula 16 September 2024 hanya di laman web www.tonton.com.my.

Written by: Salma


Previous post