Pelakon meningkat naik, Syazwan Razak mengakui berasa sedikit ‘goyah’ apabila sering dibandingkan dengan abangnya yang juga aktor popular, Syafiq Kyle, terutama apabila mula mencipta nama dalam industri seni.
Menurut Syazwan nama lengkapnya, Mohamad Syazwan Emir Abdul Razak, 26, perbandingan itu bukan perkara baharu dan sudah dijangka sejak awal pembabitannya dalam dunia lakonan.
“Bagi saya, pembandingan itu akan sentiasa ada, bukan sekarang sahaja. Orang akan tetap bandingkan kami berdua. Perkara itu bergantung kepada masing-masing bagaimana mereka menilai lakonan kami.
“Tipulah kalau cakap tak ‘jemu’, tapi saya ambil perkara itu sebagai pembakar semangat untuk saya kaji dan belajar apa yang boleh saya perbaiki,” katanya.
Syazwan berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media drama terbaharunya, BF Green Flag yang berlangsung di Studio Village, Kampung Malaysia Tambahan, pada Rabu.

Mengulas lanjut, Syazwan menegaskan dia tidak pernah berniat untuk bersaing dengan abangnya memandangkan Syafiq sudah terlebih dahulu membina nama dan meletakkan ‘benchmark’ tinggi dalam industri hiburan.
“Saya bukan mahu bersaing dengan abang saya, kita semua tahu dia sudah letakkan ‘standard’ yang tinggi. Saya pun masih baharu.
“Saya sedikit goyah sebab takut orang letak ‘benchmark’ yang sama pada saya. Saya tak ikut cara lakonan dia, saya ada cara sendiri. Saya tak boleh nak cakap dekat orang ‘jangan bandingkan’,” ujarnya.
Menepis dakwaan kononnya dia menumpang populariti Syafiq, Syazwan menegaskan jika itu niatnya, dia sudah lama menggunakan nama abangnya sebelum menyertai mana-mana program hiburan.
“Nak menumpang populariti pun, dia abang saya. Kalau saya nak buat, lama dah buat.
“Ini nasihat yang dia selalu bagi pada saya, ‘kalau kau nak masuk industri, kau kena bermula dari bawah supaya kau tahu semua kebaikan dan keburukan. Lepas itu baru buat pilihan sendiri nak kekal atau keluar’,” jelasnya.