Imbas untuk muat turun aplikasi

Artikel

Tak Mahu Bohong, Dahlia Rizal Cuba Dulu Sebelum Buat Ulasan

today18 June 2024

Background

Pempengaruh popular, Dahlia Rizal enggan menipu pengikutnya dengan melakukan ulasan palsu berlandaskan wang semata-mata di laman sosial.

Tak mahu menanggung dosa mempengaruhi orang lain dengan perkara yang tidak dilakukan, isteri kepada pelakon Imran Aqil ini akan mencuba sendiri sesuatu produk atau makanan sebelum bersetuju untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana jenama.

“Saya mula sedar selepas menghadiri kelas agama bersama suami. Dalam sesi terbabit, ustaz mengatakan pempengaruh akan mendapat dosa besar jika menipu dalam membuat ulasan. . Saya tidak mahu tanggung dosa dan takut di akhirat nanti.

“Ada produk atau makanan yang tidak dicuba, ia tidak berkualiti atau rasanya tidak sedap, tapi saya tipu mengatakan sebaliknya. Bayangkan jika 100,000 orang yang beli produk atau makanan itu hanya kerana melihat ulasan yang saya lakukan.

“Saya akan mendapat dosa besar daripada setiap orang yang beli kerana saya. Dulu semasa muda, saya tidak berfikir panjang dan kejar duit sahaja, sekarang saya sedar tanggungjawab seorang pempengaruh sangat besar. Jadi, ada beberapa hantaran terdahulu yang sudah saya padamkan dan saya bertaubat kepada Allah,” katanya.

Dahlia ditemui pada majlis sidang akhbar pelantikannya sebagi duta terbaharu produk makanan kesihatan K-Colly di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Berbicara tentang pelantikannya sebagai duta jenama terbabit, Dahlia mendedahkan dia mencuba sendiri produk itu selama hampir dua bulan sebelum membuat keputusan untuk menjalinkan kerjasama dengan jenama popular tersebut.

“Saya tidak suka makan ubat dan tidak pernah mengamalkan sebarang suplemen untuk kulit wajah. Jadi, saya cuba sendiri dan lihat keberkesanannya sebelum bersetuju untuk jadi duta.

“Sebab produk suplemen kita makan akan masuk dalam badan, saya tidak akan promosi produk yang tidak selamat digunakan. Saya yakin K-Colly memang selamat untuk diamalkan sebagai makanan kesihatan tambahan untuk kulit,” jelas Dahlia.

Disoal tentang karier, kata Dahlia dia ada menerima tawaran lakonan tetapi masih belum yakin untuk menjadi seorang pelakon kerana sukar untuk menghafal skrip.

Bahkan suaminya, Imran Aqil tidak menggalakkan untuk Dahlia terjun ke dunia lakonan.

“Saya berminat untuk mencuba tetapi suami tidak galakkan sebab dia tahu saya sukar untuk menghafal skrip. Suami juga tidak mahu saya berlakon jika drama ada hero atau love story.

“Jadi, daripada menyusahkan produksi dan dimarahi pengarah lebih baik tidak berlakon buat masa ini,” katanya.

Written by: Aqilah


Previous post