Imbas untuk muat turun aplikasi

Onz

Tak Mahu Pilih Nama Terlalu Moden Untuk Anak Sulung, Qi Razali Bersiap Sedia Nak Jadi ‘Babah’

today21 January 2026

Background

“Baru saya tahu baju bayi ada kosong tahun”, demikian respons pelakon Qi Razali apabila ditanya mengenai persediaannya untuk menyambut cahaya mata tidak lama lagi.

Kata Qi atau nama lengkapnya, Qushairi Mohammed Razali, dia mengakui dirinya kini berada pada fasa bersedia untuk menyambut kelahiran anak sulungnya bersama isteri tercinta, Wardah Hayati yang dijangka akan bersalin hujung bulan ini.

Jelasnya, pelbagai persiapan asas sudah dilakukan bagi memastikan keselesaan isteri dan bayi, termasuk keperluan harian serta kelengkapan bilik bayi.

Malah, dia juga merancang untuk mengambil cuti daripada jadual kerja bagi membantu isterinya selepas bersalin, meskipun masih mempunyai beberapa komitmen yang perlu diselaraskan.

“Tahap bersedia saya itu sudah sampai tahap saya sudah beli semua barang lampin yang tak ada kimia, tak ada sabun, sudah ada katil bayi, sudah ada benda-benda asas itu.

“Baru saya tahu baju bayi ada saiz kosong tahun. Baru tahu ada kosong tahun, saya macam “Oh, kosong tahun ya?”. Hujung bulan ini insya-Allah  isteri dijangka akan bersalin.

“Jadi saya akan cuti sekejap daripada jadual untuk tolong isteri. Sebenarnya jadual pun ada juga, tapi sampai dia okey sikit lah. Setakat ini jangkaan bersalin tak bertembung dengan kerja, tapi kalau ada, kena bincang lah,” katanya.

Qi berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan filem Pemuja yang diadakan di GSC Starling Mall, Petaling Jaya pada Selasa.

Ketika disoal mengenai kesediaannya untuk berjaga malam, Qi tidak menafikan ia satu cabaran besar, namun mengambil pendekatan positif dan realistik.

“Ramai orang cakap sudah sedia ke nak bangun tengah malam, tukar lampin, mata jadi macam panda? Saya faham kenapa awal-awal itu suami kena banyak bantu waktu malam sebab isteri baru lepas bersalin, dia kena rehat juga.

“Saya tak tahu nak cakap sedia ke tak, tapi kalau berjaga tengok bola lewat malam boleh pula, jadi kita tengok macam mana nanti. Lately ini tengok bola pun separuh masa sudah tertidur. Saya ada tanya kawan-kawan semua untuk dapatkan tip,” jelasnya.

Bahkan, pemenang Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-34 ini juga turut berkongsi kebimbangannya menjelang hari kelahiran, terutama dari aspek keselamatan isterinya ketika berada di bilik bersalin.

“Yang paling saya risau ialah keselamatan masa dalam bilik bersalin nanti. Itu memang kita takut. Kita doa saja yang baik-baik supaya semuanya dipermudahkan dan kita boleh ada bersama dia,” ujarnya.

Dalam pada itu, Qi juga berkongsi, dia dan isteri sudah berbincang mengenai pemilihan nama bayi, namun sepakat untuk tidak memilih nama yang terlalu moden.

“Ada lah pilihan-pilihan nama tu, nama pilihan bersama. Kadang-kadang nama pilihan saya, isteri tak boleh terima sangat. Ada nama klasik dan ada nama Melayu juga lah.

“Nama klasik sebab kita nak dia ada perasaan yang dia itu datang daripada keturunan kita semua lah, Melayu-Melayu. Jangan terlalu moden sangat.

“Biar dia jadi diri dia tapi ingat juga asal usul. Nama kami pun ringkas saja, Nuraza, Ariza, Asyraf, Kushairi. Jadi kita bagi benda macam itu juga, tapi ada lah yang moden sikit itu tentu ada,” kongsinya.

Written by: Salma


Previous post