Penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob meluahkan rasa kurang senang terhadap tindakan segelintir pihak suami yang dikatakan sibuk menjaga tepi kain orang lain berhubung isu perceraian.
Menerusi perkongsian di Instagram, Fazley meminta golongan lelaki yang sudah berkahwin itu untuk fokus kepada rumah tangga mereka.
“Kepada suami-suami yang masih berkahwin, tak perlu nak beri nasihat kepada duda-duda lain macam mana nak jaga isteri.
“Nasihat saya, jagalah isteri sendiri. Tak perlu jadi Pak Maon nak suruh kuatkan agama, dah macam ustaz skibidi bombom dan tak perlu jadi penceramah motivasi nak bagi 88 tips rumah tangga bahagia,” katanya dalam satu hantaran.
Dalam hantaran sama, Fazley turut bertegas tidak mudah untuk setiap pasangan suami isteri melalui fasa bercerai selepas bertahun-tahun membina mahligai cinta bersama.
“Setiap perceraian pasti sudah difikir masak-masak dan sampai hangus sebelum membuat keputusan.
“Sudah suratan atau kebetulan, ramai pula yang berpisah tahun ini. Bagi duda-duda ini ruang juga okay,” tambahnya.
Sebelum ini, Fazley mengesahkan sudah bercerai dengan bekas isteri, Azreen Soraya Abdul Aziz pada 18 Oktober lalu selepas 18 tahun berkahwin.
Fazley dan Azreen berkahwin pada 2006, dan hasil perkongsian hidup nereka dikurniakan empat orang anak, iaitu Ahmad Fariedz Shah, 15, Ahmad Fieradz Shah, 14, Ahmad Fierudz Shah, 13, dan Alayna Selma, 7.