Baru sahaja memasuki usia 55 tahun, Roslan Shah tidak menyangka popularitinya kembali memuncak dan menganggap segala penat lelah dalam dunia seni akhirnya membuahkan hasil.
Penerbitan program Night Walk oleh Mangobossku yang bersiaran di YouTube MBK Film Studios menjadikan selebriti kelahiran Singapura itu kembali mendapat perhatian, sekali gus membuatkan dia bersyukur kerana peminat menerima dirinya seadanya.
“Saya baru meraikan ulang tahun ke-55 dan rasa sangat tersentuh apabila masih dikenali pada usia sekarang. Bagi saya, semua ini adalah rezeki daripada Allah. Saya banyak bersabar selama ini. Saya tahu bukan semua orang suka kita, tapi bila nama saya naik semula pada 2025 melalui Night Walk, saya memang rasa dihargai,” katanya.

Roslan menjelaskan peminat tertarik dengan gaya spontan dan identiti lawaknya yang tersendiri, sesuatu yang membuatkan dia yakin dirinya diterima seadanya.
Dalam kesibukan menerima pelbagai tawaran, Roslan turut meluangkan masa menyertai program Pesta Bintang Stardust sempena musim konvokesyen, sekali gus menghiburkan pelajar universiti di seluruh negara.
Selepas singgah di Universiti Utara Malaysia dan Universiti Pendidikan Sultan Idris, Roslan dijangka berkunjung ke beberapa kampus lain dan berasa terharu kerana golongan muda menyambutnya dengan begitu meriah.
“Saya tak sangka peminat muda, terutama Gen Z, menjerit bila nampak saya. Saya sendiri tertanya-tanya, betul ke mereka mengenali saya? Tahun 2025 memang banyak rezeki datang, sedangkan dulu saya pernah dikutuk dan dikeji. Pernah juga ada yang kata saya dah habis, tapi saya tak pernah kejar populariti. Saya kerja dengan hati dan bila orang kenal, saya anggap itu semua rezeki,” ujarnya.
Roslan menambah, dia tidak menjangka akan dikerumuni peminat yang mahu bergambar dan memanggil namanya berulang kali. “Saya orangnya peramah, tapi bila sambutan jadi macam itu, saya memang terkejut. Banyak tawaran masuk dan jadual penuh. Alhamdulillah, saya percaya semua ini berkat saya menjaga arwah ibu ketika dia masih ada,” katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, Roslan kini aktif mempromosikan single terbaharunya berjudul Hantu Hantu Hantu, hasil ciptaan Adi 6ixth Sense dan Emma Rockers.