Imbas untuk muat turun aplikasi

Artikel

Tarik Diri SFMM37, Netizen Spekulasi Hafiz Suip Keluar Tabligh 40 Hari?

today17 November 2022

Background

Selepas mengambil keputusan menarik diri dari menyertai Separuh Akhir Muzik-Muzik Ke-37 (SFMM37), ramai nampaknya peminat kecewa untuk menyaksikan penyanyi berbakat yang juga pemenang Vokal Terbaik sebanyak empat kali pada Anugerah Juara Lagu, Hafiz Suip untuk beraksi di pentas SFMM37.

Menurut pengurusnya yang dikenali sebagai Am, Hafiz terpaksa menarik diri disebabkan urusan peribadi yang tidak dapat dielakkan malah buat masa ini penyanyi itu agak sukar dihubungi kerana kiriman mesej menerusi aplikasi WhatsApp juga masih belum mendapat balasan.

Memetik laporan Harian Metro, Am berkata, jika ada rezeki dan lagu duet bersama Erni Zakri berjudul Berakhir Pencarianku itu berjaya ke Anugerah Juara Lagu (AJL), Hafiz mungkin akan turut serta sekiranya pada masa itu dia tidak mempunyai komitmen lain.

“Memang kebetulan pada SFMM37 kali ini, Hafiz tak dapat ikut serta beraksi kerana urusan peribadi yang tidak dapat dielakkannya. Dia pun mohon maaf kepada peminat kerana tidak dapat menyanyikan lagunya yang dicalonkan itu.

“Mungkin dia akan turut serta cuma sekarang untuk SFMM37, masa tidak kena,” katanya.

Menjengah di ruangan komen sebuah portal hiburan, rata-rata peminat mendakwa Hafiz sebenarnya terlibat dalam aktiviti dakwah yang memerlukan penyanyi itu keluar selama 40 hari.

Terdahulu, pihak Nova Music Β (M) Sdn Bhd memaklumkan Hafiz telah menarik diri dari SFMM37 dan akan digantikan dengan penyanyi, Ahmad Syafiq, manakala Ernie bakal digantikan dengan penyanyi, Wani Kayrie.

 

Written by: Salma