Pelakon berbakat, Amerul Affendi berpuas hati apabila tayangan filem 6 Jilake akhirnya kembali mendapat slot tayangan di pawagam-pawagam berdekatam.
Kata Amerul, kelantangannya bersuara sebelum ini menarik perhatian orang ramai.
Namun, dia menjelaskan tindakannya itu bukanlah mahu menuding jari terhadap mana-mana pihak dek kerana memahami situasi dan proses berniaga.
“Apa yang membuatkan saya bersuara di media sosial sebelum ini adalah kerana pada 1 Mei, ramai yang cuti mahu keluar menonton wayang. Tapi slot tayangan tiada, membuatkan kutipan sukar nak hit di awal minggu kedua.
“Bagaimanapun, saya tak boleh salahkan mereka sebab ini adalah perniagaan, kita faham.
“Dan, saya ucapkan terima kasih kepada pawagam kerana memahami penonton kita. Suara kita didengari, berkat sokongan daripada penonton juga,” katanya.
Amerul atau nama penuhnya, Mohd Amerul Affendi Mohd Mawardi, 38, mengulas isu itu usai pelancaran drama baharu Tonton berjudul Bru yang diadakan di APW, Bangsar baru-baru ini.
Dalam pada itu, pelakon filem aksi 6 Jilake menekankan kepentingan mewujudkan gerakan yang mengajak lebih ramai masyarakat menyokong filem-filem tempatan.
Menurutnya, gerakan tersebut seharusnya dimulakan oleh para pelakon itu sendiri.
“Kita penat hasilkan filem, tapi kemudian biarkan orang lain memperlekehkan karya kita? Lepas itu hanya satu pihak sahaja yang buat promosi.
“Sebagai pelakon, kita juga perlu bantu penerbit kerana mereka telah melaburkan wang untuk menghasilkan filem. Takkan kita mahu mereka sahaja yang tanggung kerugian? Kena ada rasa belas kasihan,” jelasnya.