Penyanyi dan komposer, Hafiz Hamidun mengaku wajahnya menjadi buruan di Indonesia gara-gara digunakan oleh sindiket penipuan atau ‘love scam’.
Memetik laporan Harian Metro, Muhammad Hafiz Hamidun, 40 menjelaskan, hanya wajahnya sahaja yang digunakan untuk tujuan menipu dan mencari mangsa, namun sindiket tersebut menggunakan nama yang berbeza.
“Setiap hari, sehingga kini, saya masih menerima laporan polis dan tangkap layar mengenai kes ‘love scam’. Ramai yang sudah ditipu di sana. Mereka menggunakan wajah saya untuk menipu wang orang lain.
“Wajah saya digunakan ‘scammer’ di Indonesia. Jadi, wajah saya kini menjadi buruan di Indonesia kerana ‘love scam’, namun itu bukan saya. Mereka menggunakan wajah saya tetapi dengan nama yang berbeza,” katanya kepada pemberita.

Bukan itu sahaja, Hafiz mengaku ada mangsa datang dan memaklumkan ingin berkahwin dengannya bagaimanapun dia terpaka smenjelaskan hal sebenar.
“Ada yang sampai berjanji untuk berkahwin, memaksa saya untuk menjelaskan bahawa semua itu hanyalah penipuan semata-mata.
“Mereka cuba menghantar mesej (DM), tetapi saya tidak mahu bersikap terlalu kasar kerana mereka hanyalah mangsa. Mereka memberikan wang kepada ‘scammer’ dan jumlahnya dalam puluhan ribu ringgit.
“Selepas ditipu, dalang terbabit hilang dan mangsa mula mencari siapa saya. Bila mereka tahu saya penyanyi dari Malaysia, mereka terus menjadi peminat,” jelasnya.

Mengulas lanjut, pelantun lagu Jodoh Berdua ini tidak dapat membuat laporan kepada pihak polis Malaysia memandangkan isu penipuan itu berlaku di sana.
“Saya tidak boleh membuat laporan polis di Malaysia, jadi saya terpaksa memberitahu mereka bahawa laporan polis perlu dibuat di Indonesia.
“Setakat ini, saya sudah melaporkan lebih dari 2,000 akaun palsu. Apa-apa pun, saya tetap bimbang jika ‘scammer’ menggunakan wajah saya hingga membabitkan kes jenayah,”ujarnya.
Sumber: Harian Metro