Imbas untuk muat turun aplikasi

Artikel

Terpaling Juara: Purnama Merindu Versi Salah Lirik Bukan Gimik!

today8 September 2022

Background

Penerbit program Terpaling Juara, Azrul Effendi Abdullah mengesahkan bahawa kesalahan lirik lagu Purnama Merindu yang dipersembahkan oleh peserta junior, Shazreen Shaharum atau Shaz, pada Ahad lalu adalah bukan semata-mata mahu mencipta gimik.

Tambah Azrul, pihaknya juga sudah mendengar alasan daripada Shaz ketika sesi ‘post-mortem’.

“Bukan gimik, semuanya adalah realiti sebab program Terpaling Juara pun adalah program secara langsung.

“Kami, pihak produksi dah pastikan semua persiapan dibuat dengan sempurna dari ‘sound check’, raptai penuh, sehinggalah hari persembahan.

“Pada malam secara langsung, saya tak pasti apa yang berlaku sebab perubahan lirik itu datang dari dirinya sendiri.

“Pada Isnin, kami mengadakan sesi ‘post-mortem’ dan Shaz maklumkan bahawa dia pun tak tahu bagaimana lirik itu terlintas dalam fikirannya,” katanya.

Azrul juga tidak menolak berkemungkinan besar Shaz benar-benar menghayati lagu itu sehingga terbuai dengan liriknya.

“Mungkin dia terlalu menghayati lagu Purnama Merindu itu sampai dia terlupa, apa lirik sebenarnya.

“Tambahan pula, lagu ini popular dan ramai yang tahu liriknya memandangkan ia dipopularkan oleh Datuk Seri Siti Nurhaliza,” katanya.

Penerbit program itu juga berpendapat pertukaran lirik boleh dibuat dalam beberapa situasi, namun, tidak menafikan kesalahan yang berlaku dalam konsert minggu ketiga itu.

“Kalau penyanyi asal adalah lelaki dan pesertanya wanita, ada bahagian lirik yang boleh ditukar untuk disesuaikan.

“Tapi, untuk lagu ini, saya sebagai penerbit tidak boleh menafikan atau sembunyikan kesalahan yang berlaku kerana saya perlu adil kepada semua peserta.

“Dari sudut lain, Shaz patut dipuji kerana persembahan yang diberikannya sangat bagus sehingga mendapat pujian juri, kecuali dari bahagian lirik yang sedikit mencacatkan persembahannya,” jelasnya.

Pada konsert ketiga Terpaling Juara, persembahan Shaz mendapat perhatian ramai apabila lirik lagu Purnama Merindu yang dinyanyikan Shaz mempunyai kesalahan dengan menyebut ‘Purnama mengambang cuma berteman, Dengan menyaksikan sejuta awan, Hiasan sanggul rindu yang mencengkam, Di hatiku’ hingga menjadi tular.

Terpaling Juara dihoskan oleh Haziq Hussni dan Shiha Zikir disiarkan selama lapan episod. Pemenang Terpaling Juara membawa pulang hadiah bernilai RM100,000, manakala Naib Juara memenangi RM50,000 dan tempat ketiga RM30,000.

ARTIKEL BERKAITAN: Terpaling Juara: β€œMana Datang Hiasan Sanggul?” – Peminat Siti Nurhaliza Berang Salah Lirik, Tapi.. Ramai Puji Shaz Sangat Profesional!

Sumber: Harian Metro

Written by: Aqilah


Previous post