Penyanyi dan peserta program realiti Terpaling Juara TV3, Shaz tampil menjelaskan berhubung kesilapannya yang tersalah lirik ketika membawakan lagu Purnama Merindu dendangan asal Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Artikel Berkaitan: Terpaling Juara: “Mana Datang Hiasan Sanggul?” – Peminat Siti Nurhaliza Berang Salah Lirik, Tapi.. Ramai Puji Shaz Sangat Profesional!
Menurut Shaz atau nama sebenarnya Shazreen Shaharum, dia sangat gementar ketika diberi tugasan untuk membawa lagu penyanyi kegemarannya itu.
“Saya blank ketika di atas pentas. Sebenarnya, masa mula-mula dapat tahu saya akan membawakan lagu TokTi, saya rasa agak gementar kerana bukan semua orang mampu dan berani menyanyikan lagu beliau.
“Untuk nyanyian biasa mungkin boleh tetapi untuk menyanyi di pertandingan memang sangat mendebarkan. Ketika itu fikiran saya kosong dan perkataan ‘hiasan sanggul’ itu muncul secara tiba-tiba. Saya mengaku itu memang kesilapan saya,” jelasnya.
Disamping itu, Shaz mengambil kesempatan untuk memohon maaf kepada semua pihak terutamanya kepada Siti Nurhaliza kerana dianggap telah mencemarkan lagu tersebut.
“Saya ingin memohon maaf terutamanya para peminat Datuk Seri Siti Nurhaliza. Saya sendiri merupakan peminat beliau. Saya tahu saya telah mengecilkan hati ramai pihak kerana ini merupakan lagu kesukaan ramai.
“Saya ada menerima banyak mesej daripada netizen sampai saya tak terbaca tapi saya ada juga ternampak komen-komen yang mengatakan saya seperti sengaja mengubah lirik lagu tersebut dan tidak menghormati penulis lirik. Saya menafikan tuduhan.
“Bagi saya, ketika saya blank itu, kalau saya memilih untuk menghentikan persembahan atau berdiam diri, saya bukan sahaja akan menghancurkan hati saya sendiri tetapi juga kapten dan penyokong yang datang dari jauh. Itu lagi teruk.
“Perkataan itu sahaja yang terlintas di hati saya. Insya-Allah, saya berjanji untuk tidak mengulangi lagi kesilapan itu,” katanya lagi.
Sumber: Media Hiburan