
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Hajiji Noor berpandangan tiada keperluan mendesak untuk memindahkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dari ibu negeri Sabah.
“Untuk jangka masa panjang kita kena pindahkanlah tapi kalau untuk tujuh hingga 10 tahun masih boleh lagi di Kota Kinabalu ini,” katanya kepada FMT dalam temubual eksklusif.
Hajiji memaklumkan, belum ada keputusan dibuat tentang lokasi lapangan terbang baharu, dan kerajaan negeri belum terima laporan terperinci daripada Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) berhubung perkara itu.
Pada Jun 2022, syarikat pelaburan milik kerajaan negeri, Qhazanah Sabah Bhd (QSB), dan pemaju hartanah, Berjaya Land Bhd tandatangan memorandum persefahaman untuk mengkaji pemindahan KKIA ke Kimanis, terletak kira-kira 60km di selatan Kota Kinabalu.
