Imbas untuk muat turun aplikasi

Artikel

Tinggalkan Kekasih Hati, Hubungan Cinta 4 Tahun Naim Daniel Terlerai

today19 January 2025

Background

Pelakon dan penyanyi, Naim Daniel baru sahaja melalui fasa putus cinta selepas empat tahun bersama wanita yang juga berkecimpung dalam industri seni.

Meskipun enggan mendedahkan sosok wanita tersebut, Naim atau nama sebenarnya Muhammad Naim Daniel Baharin, 28, mengakui keputusan untuk berpisah adalah jalan terbaik bagi kedua-dua pihak.

“Saya yang mengambil keputusan untuk berpisah kerana saya rasa saya perlukan ruang untuk mencari diri saya. Pada ketika itu, saya rasa berpisah adalah jalan terbaik,” katanya.

Meskipun kecewa kerana gagal dalam sebuah perhubungan, Naim bagaimanapun menganggap bahawa perkara yang berlaku adalah takdir dan ujian atas ketentuan Illahi.

“Sedikit kecewa, bagi saya 2024 itu adalah tahun paling teruk saya hadapi. Bukan senang kita nak lupakan semua kenangan bersama.

“Hidup harus diteruskan. Kalau dah tertulis bukan jodoh dan rezeki, nak buat macam mana lagi.

Naim berkata demikian ketika ditemui di acara House Party XO House x High Cultured pada Jumaat lalu.

Mengulas lebih lanjut, Naim berkata dia kini telah bersedia untuk menamatkan zaman bujang, namun buat masa ini hatinya belum dimiliki mana-mana wanita.

“Kadang-kadang tak tahu bila seru nak kahwin tu sampai. Mungkin sebelum ni saya tak rasa nak kahwin, dan sekarang perasaan itu baru datang. Sesuatu yang sebelum ini tak pernah muncul.

“Saya memang ada niat nak berkahwin sebenarnya, cuma jodoh tiada. Setakat ini, hati saya belum diisi mana-mana wanita. Saya memang solo tetapi tidak mencari.

“Saya fokus dengan apa yang saya lakukan sekarang. Tetapi, siapa-siapa sahaja yang datang selepas ini nak mengenali, saya okay saja,” katanya.

Berkongsi perkembangan terkini, Naim berkata dia akan melancarkan album terbarunya yang bertajuk Lelaki Gila yang bakal dipasarkan dalam masa terdekat.

Sebelum ini, Naim memaklumkan dia sedang menjalinkan hubungan istimewa bersama seorang wanita yang juga terlibat dalam industri hiburan, namun ketika itu pelantun lagu Purnama ini enggan mendedahkan butiran lebih lanjut mengenai kisah tersebut.

Written by: Aqilah


Previous post