Rezeki kadangkala hadir dalam cara yang tidak disangka. Bagi seorang suri rumah dari Taiping, Perak, niat asal sekadar membeli baju raya akhirnya bertukar menjadi durian runtuh apabila dia memenangi hadiah bernilai RM200,000 menerusi kempen Bulan Bintang Terrrrpaling Raya powered by Affin Bank.
Pemenang bertuah itu, Nurul Aqilah Radzuan, 33, pada awalnya hanya membeli sepasang baju kurung daripada jenama Bulan Bintang sebagai persiapan menyambut Aidilfitri. Pembelian tersebut secara automatik melayakkannya menyertai kempen AFFIN Dream Box.
Menurut Aqilah, dia hanya menyedari mengenai penyertaan tersebut selepas menerima kotak pembelian dan mengimbas kod QR yang disediakan.
Ketika itu, paparan pada skrin menunjukkan jumlah kemenangan yang agak besar sehingga membuatkannya tidak percaya dengan apa yang dilihat.

Aqilah pada mulanya menyangka nilai yang tertera hanyalah RM200. Namun selepas meneliti semula paparan tersebut, barulah dia sedar jumlah sebenar yang dimenangi ialah RM200,000.
“Pada awalnya saya fikir nilainya hanya RM200 sahaja. Bila tengok semula jumlah yang tertera, saya terus terkejut dan ambil tangkapan skrin untuk dihantar kepada suami kerana sukar percaya dengan apa yang saya lihat,” katanya ketika majlis penyerahan hadiah di Menara Affin di TRX.
Menurut Aqilah, kemenangan tersebut dianggap sebagai rezeki besar buat dirinya dan keluarga, lebih-lebih lagi menjelang bulan Ramadan serta Aidilfitri.
Antara perkara yang diimpikan selepas kemenangan itu termasuk memiliki kereta baharu, membeli barang kemas untuk keluarga serta mendapatkan peranti baharu untuk suaminya.

Dalam masa sama, pengasas Bulan Bintang, Azzim Zahid Azmi atau Meri berkata konsep Dream Box diperkenalkan sebagai pendekatan yang memberi kebebasan kepada pemenang untuk menentukan sendiri impian yang mahu direalisasikan melalui hadiah tersebut.
Tambahnya, kempen tersebut masih menawarkan pelbagai hadiah lain yang belum dimenangi termasuk Dream Box bernilai RM100,000 dan RM50,000, selain hadiah seperti kereta, motosikal serta ganjaran menarik lain.
Kempen Bulan Bintang Terrrrpaling Raya yang dijalankan bersama Affin Islamic Bank membolehkan pelanggan mengetahui keputusan kemenangan secara serta-merta dengan hanya mengimbas kod QR pada kotak pembelian.
Menariknya, pelanggan hanya perlu membeli produk Bulan Bintang bermula daripada RM109 untuk melayakkan diri menyertai kempen tersebut.
Selain hadiah utama AFFIN Dream Box, kempen ini turut menawarkan Duit Raya bernilai ratusan ribu ringgit serta pelbagai ganjaran lain hasil kerjasama dengan rakan jenama seperti Tealive dan Tabung Haji Travel & Services.