Pelakon jelita, Nora Danish berkongsi pendapat peribadinya mengenai isu seorang manusia yang menutup aurat seolah-olah terhindar daripada melakukan dosa.
Menerusi perkongsian di Instagram Story (IGs) miliknya, Nora berkongsi semula pautan video dakwah yang menjelaskan umat Islam yang beriman tidak bermakna kehidupan seseorang itu sempurna atau terlepas membuat dosa.
Aktres drama sitkom Puteri ini berpendapat bahawa setiap manusia yang menutup aurat jua tidak dapat lari daripada melakukan dosa, malah Nora menyarankan bahawa semua pihak perlu mengubah mentaliti mereka dalam isu tersebut.
“Bila mereka yang bertudung atau berjubah, berserban dianggap suci dan tidak boleh melakukan dosa. Dan dihukum, dihina teruk bila mereka melakukannya.
“Sampai terkadang dituduh munafik. Mentaliti kita ni kena ubah dan sedar bahwa mereka juga manusia biasa, tidak lari dari melakukan dosa,” katanya.
Dalam masa sama, Nora turut berharap agar warganet tidak mudah terus berprasangka buruk sekiranya mereka (individu menutup aurat) diuji.
“Yang Allah lihat adalah taubatnya. Jadi janganlah kita pandang sesiapa pun suci, semua pun sama makhluk Allah supaya kita tidak terlalu menilai mereka jika mereka diuji,” katanya.
