Pelakon dan pempengaruh, Ucop tampil memberi pandangan peribadi berhubung isu segelintir ‘content creators’ memakai solekan menyerupai wanita.
Ucop atau nama sebenarnya, Mohd Yusof Hashim, 31, berkata atas pemilihan pempengaruh itu sendiri namun mereka perlu berfikir kesannya terlebih dahulu sebelum berkongsi di media sosial.
“Terpulang kepada individu itu sendiri, kalau niat dia nak jadi perempuan kita pun tahu apa akibatnya terutamanya di Malaysia serta budaya kita.
“Mereka boleh membuat kandungan digital macam mana sekalipun tetapi sebagai pempengaruh mereka perlu ada pengagihan watak dalam media sosial dengan dunia nyata.
“Tetapi kalau dia makeup untuk membuat ‘content’ semata saya rasa perkara itu tak ada masalah, mereka bebas untuk buat apa sahaja jenis video asalkan beri manfaat kepada komuniti,” katanya.

Sementara itu, Ucop turut berharap agar pempengaruh di luar sana berhati-hati sebelum memuat naik kandungan video yang bertentangan dengan agama.
“Kita kena tengok semula jenis kandungan digital yang dilakukan. Kalau dah bercanggah dengan agama, content creators itu perlu berfikir dahulu sebelum berkongsi supaya tidak menimbulkan spekulasi.
“Zaman saya dahulu dengan sekarang dah lain. Kini mereka lebih berani mengekspresikan apa yang mereka rasa di media sosial.
“Saya sendiri pernah buat content macam tu, tetapi saya tak akan bawak perkara itu dalam dunia nyata sebab ia hanyalah pesona,” katanya.
Ucop berkata demikian ketika ditemui pada sidang media dan tayangan perdana drama bersiri Viu iaitu The Secret di GSC, Midvalley, Kuala Lumpur pada petang Selasa.
Dalam perkembangan lain, Ucop membintangi drama The Secret iaitu terbitan platform penstrimen popular Viu bersama selebriti terkenal, Siti Saleha, Remy Ishak, Nadiya Nisaa dan ramai lagi.
“Saya jatuh hati dengan watak ini selepas baca membaca skrip dan sinopsis. Drama ini mengetengahkan isu seperti rogol, buli siber dan bunuh diri.
“Jadi, saya merasakan drama ini satu tanggungjawab untuk memberi pengajaran kepada penonton.
“Watak saya juga sangat sukar dan bermain dengan emosi,” katanya lagi.