Tahniah! Buat pengeluar filem animasi Les’ Copaque untuk Filem Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal yang telah dinobat sebagai pemenang kategori rencana filem terbaik dalam Festival Filem Animasi Antarabangsa Montreal 2019 di Kanada (Animaze).
Memuat naik khabar gembira itu ke media sosial semalam, ciapan Twitter pengeluar filem animasi Les’ Copaque di retweet lebih 8,000 kali setakat ini turut dihujani ucapan tahniah.
Tahniah! filem Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal telah dipilih sebagai pemenang di Montreal International Film Festival Animation 2019 (ANIMAZE) dalam kategori "Feature Film" pic.twitter.com/hULqsStSJt
— Les' Copaque (@lescopaque) September 10, 2019
Memperoleh kutipan RM25.28 juta selepas dua bulan tayangan di pawagam tempatan sejak 21 Mac lalu, filem tersebut dicalonkan sempena anugerah berkenaan pada 31 Ogos lalu.
Filem berkenaan turut mendapat sambutan di Indonesia, Filipina dan Vietnam.
Penyertaan filem tempatan di Montreal adalah pertama kali melibatkan karyawan industri kreatif dari Malaysia.
Geoffrey James dari Inc.Com, sebuah portal antarabangsa, pada 7 September lalu menyifatkan kemenangan itu menjadikan Les’ Copaque sebagai “Disney” Asia Tenggara.
Filem itu mengisahkan pengembaraan Upin dan Ipin serta rakan mereka bagi mengembalikan kegemilangan kerajaan Inderaloka daripada kekejaman Raja Bersiong.
