Imbas untuk muat turun aplikasi

Artikel

Uyaina Arshad Terkilan Didakwa Sengaja Tayang ‘Baby Bump’

today5 August 2022

Background

Pengacara dan pelakon jelita, Uyaina Arshad menerima tohmahan dan kritikan netizen sehingga mendakwa dirinya sengaja mendedahkan aurat dengan menayang ‘baby bump’ setiap kali memuat naik foto di media sosial.

Bagaimanapun, Uyaina berkata dia tidak pernah sekalipun terlintas di fikirannya menunjuk-nunjuk, sebaliknya usia kandungan yang mencecah lapan bulan membuatkan dirinya semakin sukar untuk menutup kehamilannya itu.

“Isu jangan tunjuk ‘baby bump’ banyak kali saya kena, tapi masalahnya kalau kehamilan dah masuk bulan ketujuh dan ke atas bagaimana nak sorok… Saya bukan sengaja nak tayang kehamilan di media sosial.

“Saya tak pakai baju ketat, malah saya tutup dengan kain tudung. Tak tahu bagaimana lagi saya nak puaskan hati orang yang mengatakan tunjuk ‘baby bump’ ini adalah aurat sedangkan saya menutup dengan pakaian dan bukan sengaja nak menunjuk bentuk kehamilan ini,” luahnya.

Mengulas lebih lanjut, Uyaina menjelaskan bahawa segala foto dan video di media sosialnya itu adalah salah satu tanggungjawabnya sebagai selebriti.

“Saya ingin jelaskan media sosial adalah sebahagian daripada kerja saya sebagai anak seni. Muat naik gambar atau video adalah tugas saya, jadi kalau ternampak ‘baby bump’ itu adalah sesuatu yang tidak sengaja,” katanya.

Baru-baru ini, pengacara Wanita Hari Ini itu menerima komen berbaur negatif yang menegur Uyaina sengaja menunjuk ‘baby bump’ pada sebuah video serta mendoakan agar dosanya diampunkan.

“Dalam Islam… ‘baby bump’ itu aurat. Tidak boleh didedah. Moga Allah ampunkan dosa beliau dan kita semua. Amin,” tulis netizen berkenaan.

Susulan itu, Uyaina meluahkan rasa terkilan apabila ramai pihak seakan sengaja menghancurkan momen indahnya apabila dikecam senjaga mendedah aurat.

Dalam pada itu, aktres Kau Cipta Kasih meminta agar semua pihak terutamanya golongan wanita untuk tidak mempunyai sikap iri hati terhadap sesama mereka.

“Janganlah ada pihak yang tergamak nak bunuh kegembiraan orang yang bakal bergelar ibu bapa. Saya ingat anda respek saya sebab itu anda ikuti saya di media sosial. Tapi kalau ada komen-komen negatif, saya akan padam komen itu dan sekat,” tegasnya.

Sumber: Harian Metro

Written by: Aqilah


Previous post