Selepas memuat naik video pendek bersama Ira Kazar, pelakon Zarina Zainuddin menerima pelbagai respons dalam kalangan warganet.
Menerusi hantaran di Instagram, Zarina atau nama penuhnya, Nur Zarina Mohd Zainuddin, 53, kelihatan mesra sambil memeluk erat dan mencium pipi Ira sekaligus menitipkan kata-kata semangat buat wanita itu di ruangan kapsyen.
“Semoga Ira terus kuat mental dan fizikal .. doakan semoga Allah permudahkan segalanya, Aamiin,” tulisnya.
Melihat aksi mesra yang ditunjukkan, rata-rata warganet berpendapat dan meminta aktres itu agar mengambil Ira Kazar sebagai menantunya.
Bukan itu sahaja, netizen berpendapat bahawa Ira kelihatan semakin cantik dan berseri meskipun rumah tangganya sedang diuji dalam fasa perceraian bersama suami, Syamsul Yusof.
Meskipun rata-rata memberikan komen positif, namun masih terdapat dalam kalangan warganet yang memerli hantaran video berkenaan apabila mengatakan kedua-duanya kelihatan rapat dan mesra disebabkan masing-masing mempunyai status yang sama iaitu ‘isteri kedua’.
Setakat artikel ini ditulis, video berdurasi lebih satu minit itu telahpun meraih lebih 800,000 tontonan dan menerima lebih 11,000 tanda suka sejak ia dimuat naik pada Jumaat.